Baru saja hari penamaan calon, perbalahan antara UMNO dan Bersatu nampaknya sudah tak terbendung lagi.
Dengan UMNO bertanding paling banyak kerusi dalam PRN Sabah ini iaitu 31, kepercayaan umum tentulah calon parti itu akan mengisi jawatan Ketua Menteri jika kemenangan memihak kepada blok pembangkang pada 26 September depan.
Apatah lagi, Pengerusi UMNO dan BN Sabah, Bung Mokhtar Radin telah berjaya mengenepikan dua pesaingnya untuk jawatan itu, Musa Aman dan Abdul Rahman Dahlan daripada diturunkan sebagai calon mewakili BN.
Dalam keadaan Musa dan Abdul Rahman tidak bertanding, ternampak hanya Bung Mokhtarlah satu-satunya calon Ketua Menteri yang ada.
Lebih daripada itu, dengan UMNO sendiri meletakkan 31 calon dan 41 jika termasuk MCA dan PBRS, BN adalah pihak majoriti bertanding daripada keseluruhan 73 kerusi dalam DUN Sabah.
Tiba-tiba pagi ini, Muhyiddin Yassin mengumumkan Hajiji Mohd Nor adalah calon Ketua Menteri, sedangkan Bersatu hanya bertanding 19 kerusi saja.
Dalam hal ini, tentu saja tindakan Muhyiddin itu dibantah UMNO, termasuk oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi sendiri.
Apa motif Muhyiddin?
Apakah beliau mahu mengkhianati BN dan berharap pengundi lebih memberi kemenangan kepada calon BN semata-mata?
Adakah ini juga bermakna hubungan UMNO dan Bersatu memang tidak boleh disatukan?
Itu baru di Sabah, bagaimana dalam PRU15 nanti?
Apakah ketika itu nanti UMNO pula akan mengumumkan calon Perdana Menteri daripada mereka pula?
Apa pun, perebutan UMNO dan Bersatu ini adalah suatu berita baik buat Warisan yang bukan saja tidak berebut kerusi, malah hanya ada seorang calon Ketua Menteri.
(Shahbudindotcom 12/09/2020)