‘TERIMA KASIH DR STRERAM BANTU KAMI’


Lebih 20 keluarga yang menetap di Kampung Pasir Airport, di Rantau, menarik nafas lega dan bersyukur, apabila permohonan mendapatkan kemudahan sebuah perhentian bas di kawasan kampung itu direalisasikan dengan bantuan Pakatan Harapan.
Penantian lebih 15 tahun itu, didengari calon PH, Dr S. Streram dan berjaya menyiapkan perhentian itu dalam tempoh dua minggu, yang menelan belanja kira-kira RM8,000 dengan mendahulukan duitnya sendiri.
Nicholas, 56, yang telah menetap di kampung itu sejak 1985, terharu dengan tindakan Dr Streram yang sanggup berkorban membantu penduduk Kampung Pasir Airport yang dianggapnya merupakan antara penduduk minoriti di kawasan Rantau.
Katanya, perhentian bas yang berukuran 10 x 12 kaki, berbumbung dan berwarna biru itu bukan sahaja menghubungkan penduduk dengan kemudahan pengangkutan awam tetapi ia sekali gus menjadi tempat berteduh buat anak-anak yang menanti bas sekolah ketika hujan.
"Bayangkan perhentian bas yang terdekat dengan kampung kami adalah sejauh 1.2 km, kami sudah minta banyak kali, tetapi tidak dapat,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Seorang lagi penduduk, U. Karunash, 36, meluahkan kekesalan ekoran permintaan penduduk tidak diendahkan kerajaan terdahulu.
Beliau bertanya adakah disebabkan penduduk ini yang mana, sebilangan besar merupakan golongan berpendapatan rendah dan menetap di dalam ladang kelapa sawit, maka permintaan mereka itu diabaikan.
"Orang-orang sini bukannya kaya, dan ada keluarga memang bergantung harap sepenuhnya pada bas untuk pergi ke pekan, tak apalah kita tak nak komplen pasal kerajaan lama, yang penting kami berterima kasih kepada mereka yang sanggup mendengar suara kami,” katanya.
Bagi Dr Streram, beliau berkata asas pendirian PH iaitu sentiasa membela nasib rakyat menjadi asas panduan buat dirinya.
"Pada kita sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab (PH) kami menjaga kebajikan rakyat, walaupun ianya hanya satu permintaan kecil, tetapi ia memberikan kesan yang besar. Jadi semua golongan akan dapat manfaat daripada kerajaan PH,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Rembau berkata sekiranya penduduk Rantau inginkan perubahan, kuasa itu sentiasa ada di tangan mereka.
PRK DUN Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden Umno dan dua calon bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

No comments: