Rebut jawatan pengurusan masjid

Jemaah Masjid Mak Kemas yang membuat bantahan.

MARANG - Perpaduan masyarakat Melayu di negeri ini nampaknya masih lagi menjadi retorik apabila masih ada dalam kalangan pemimpin parti peringkat akar umbi yang bertelagah kerana jawatan.

Terbaharu, jemaah Masjid Mak Kemas, di sini membuat bantahan apabila ahli jawatankuasa pengurusan masjid yang lama dikatakan mahu dipecat dan digantikan dengan pengurusan yang baharu.

Menjadi kekesalan jemaah di situ apabila ia dikatakan dilakukan tanpa sebarang perbincangan sehingga bantahan itu dibuat sebagai tanda protes agar mendapat perhatian pihak yang lebih berautoriti.

Perkara itu turut mendapat perhatian Kelab CAKNA Terengganu yang meminta semua pihak mengambil pengajaran sebagaimana yang berlaku di tempat lain bagi mengelak perpecahan masyarakat.

Presidennya, Zaidi Muda berkata, kedua-dua pihak perlu duduk berbincang iaitu pihak pengurusan kampung dan ahli jawatankuasa masjid yang dikatakan mahu dipecat bagi menyelesaikannya secara baik.

Sambil menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak wajar, beliau juga sependapat dengan kariah masjid itu yang berharap supaya kerajaan negeri terutama pejabat agama daerah dapat menyelesaikannya.

"Walaupun ia adalah bidang kuasa negeri namun perbincangan dengan masyarakat setempat adalah penting bagi mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam sesebuah kampung.

"Pada saya kedua dua pihak perlu duduk berbincang dengan baik bagi mencapai kata putus. Perlu ada orang tengah yang berautoriti seperti wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu," katanya, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Marang, Engku Omar Amiruddin Engku Ali ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai bantahan itu dan pihaknya sudah mengambil tindakan.

"Kita telah mengadakan mesyuarat dengan pihak yang terbabit pada hari ini," katanya namun enggan mengulas mengenai keputusan pada mesyuarat dijalankan melibatkan pihak yang terbabit.

    No comments: