Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang Bayar Hutang BN





GEORGETOWN 3 NOV : Sejak mengambil alih Pulau Pinang pada Mac 2008, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat berjaya melangsaikan sejumlah RM600.47 juta atau 95.29 peratus jumlah hutang kerajaan negeri terdahulu.

Kejayaan ini menjadikan baki hutang semasa kerajaan negeri sekarang ialah RM29.66 juta.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu sidang media di sini baharu-baharu ini.

Guan Eng menjelaskan baki hutang semasa ini adalah meliputi RM27.51 juta untuk 11 Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan RM2.15 juta bagi projek 'Indoor Arcade & Seafood Centre di Batu Kawan.

"Kita telah bayar hutang ini, tetapi kebanyakannya adalah kerana projek air yang mana telah diusahakan oleh kerajaan dulu (BN).

"kita merasakan ianya perlu dilangsaikan kerana kalau tidak ia akan menjadi beban kepada kerajaan Pulau Pinang,"jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang Adun Barisan Nasional yang menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang gagal menguruskan kewangan negeri sejak memerintah.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 jelas menunjukkan kedudukan kewangan kerajaan negeri meningkat walaupun terpaksa melangsaikan hutang kerajaan terdahulu.

Laporan Audit berkenaan mendedahkan semua petunjuk kewangan di negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu, meningkat pada tahun lepas.

Sebagai makluman, Kumpulan Wang Disatukan Negeri telah meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion.

Manakala baki Akaun Hasil Disatukan telah juga meningkat RM33.54 juta atau 6.2% sehingga mencapai RM572.49 juta

Hasil yang dikutip pada tahun 2010 telah meningkat sebanyak RM34.19 juta atau 9.1% kepada RM410.70 berbanding dengan 2009, RM376.51 juta.

Aset negeri yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion (RM1.10 bilion pada tahun 2009).

No comments: