Rombongan PKR, NGO Dilarang Masuk Pusat Fidlot Keluarga Shahrizat

GEMAS, 3 Nov : Hasrat rombongan pimpinan PKR ke Pusat Fidlot Nasional hari ini gagal apabila dilarang memasuki kawasan ladang lembu tersebut.

Pihak pengawal keselamatan yang bertugas melarang rombongan yang diketuai oleh Rafizi Ramli dan pihak media.

Walaupun pihaknya cuba berunding dan menjelaskan bahawa PKR telah menghantar surat rasmi kepada pihak (NFC).

Pusat Fidlot Kebangsaan adalah dimiliki oleh National Fidlot Corporation (NFC), mempunyai keluasan kira-kira 5 ribu ekar dan didakwa menternak sehingga 1500 ekor lembu pada satu-satu masa.

Malah, menurut Rafizi, Menteri Pertanian dan Indsutri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sendiri sebelum ini pernah menegaskan yang pintu Pusat Fidlot itu akan dibuka kepada sesiapa sahaja untuk dilawati sebagai bukti ketelusan kerajaan dalam penganugerahan projek itu.

"Ini kemudahan kerajaan, bukan milik swasta," kata Rafizi merujuk kepada RM250 juta yang dilaburkan kerajaan BN kepada NFC yang didakwa dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"Kita datang berdasarkan jemputan daripada Menteri Pertanian. (Beliau kata), sesiapa yang mahu datang, beliau akan buka pintu," kata Rafizi lagi.

Walau bagaimanapun pengawal keselamatan yang bertugas menyatakan, beliau menerima arahan daripada majikannya yang mengarahkan agar tidak menerima sesiapa untuk melawat hari ini.

Lapor keadilandaily, Rafizi meminta pengawal keselamatan itu memanggil mana-mana pegawai NFC untuk berunding namun kedua-dua permintaan itu tidak dilayan.

Malah, pengawal keselamatan itu juga mengugut untuk memanggil polis jika rombongan itu tidak bersurai dalam masa 10 minit.

Sementara itu, di dalam pagar NFC kelihatan tiga individu lelaki sedang membuat rakaman video.

NFC mencuri tumpuan orang ramai apabila ia diketahui diterajui Agro Science Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki keluarga Shahrizat Jalil.

Ia diberikan peruntukan kewangan sebanyak RM250 juta melalui RMK 9 namun sehingga ke hari ini gagal memenuhi keperluan pasaran sebanyak 40 peratus yang sepatutnya dipenuhi.

Sehingga hari ini, sebanyak RM141 juta telah diberikan kepada Agro Science dengan RM6 juta dalam bentuk geran dan RM135 juta lagi dalam bentuk pinjaman kadar rendah sebanyak 2 peratus setahun.

Menurut Rafizi, persoalan utama sekarang adalah Agro Science diberikan kadar pinjaman yang sangat rendah oleh kerajaan namun ia gagal melaksanakan tugas utamanya malah ada ura-ura daging lembu yang dihasilkan digunakan untuk memenuhi keperluan restoran mewah keluarga Shahrizat.

Turut serta dalam rombongan itu Adun Sikamat, Aminuddin Harun, aktivis NGO seperti Jingga 13.

No comments: