SHAH ALAM 25 MAC : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad menegaskan kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan nasib penduduk rumah panjang PJS1, Petaling Jaya yang terpaksa berpindah dari penempatan mereka ekoran projek pembinaan sekolah kebangsaan di kawasan tersebut.
Iskandar berkata, sebaliknya kerajaan negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat telah menyumbang RM14,285 kepada setiap 29 keluarga peneroka bandar sebagai bantuan sewa dan kos perpindahan pada 12 Mei 2010.
Tegas Iskandar, hasutan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang dilaporkan media cetak Umno-Barisan Nasional ini hanya memikirkan bertujuan menjaga kepentingan politik mereka dan bukannya untuk kepentingan penduduk rumah panjang atau kepentingan seluruh penduduk PJS1.
Menurut Iskandar, bantuan sewa dan perpindahan ini juga akan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemaju.
"Kerajaan Negeri mahu penduduk rumah panjang itu berpindah keluar agar mereka dapat tinggal di dalam keadaan yang lebih sempurna," katanya.
Sebelum ini, 29 keluarga peneroka bandar ini terpaksa menetap di rumah panjang sebagai penempatan transit sehingga rumah kos rendah mereka siap untuk didiami.
Bagaimanapun menurut Iskandar, pembinaan rumah kos rendah yang mula dibina dalam tahun 2004 mendapat bantahan dari penduduk tempatan sehingga mengakibatkan tindakan mahkamah diambil untuk memberhentikan projek tersebut.
Namun pada tahun 2009, atas usaha berterusan kerajaan negeri berjaya mendapatkan persetujuan pemaju untuk membina rumah kos rendah di tapak alternatif yang bertentangan dengan rumah panjang tersebut yang gagal dilaksanakan kerajaan Umno-Barisan Nasional sebelum ini.
Jelas Iskandar, tapak tersebut diperlukan untuk membina sebuah sekolah kebangsaan.
Menurut Iskandar, bagaimanapun tawaran Kerajaan Negeri ini ditolak oleh penduduk pada 2 Mei 2010.
Akibat dari keengganan penduduk untuk berpindah maka Kerajaan Persekutuan pada 11 Ogos 2010 telah menangguhkan pembinaan sekolah kebangsaan itu.
Iskandar berkata, untuk penyelesaian terbaik bagi penduduk rumah panjang PJS1 harus menerima bantuan kewangan yang ditawarkan serta berpindah keluar dari kawasan terbabit dan menunggu sehingga rumah kekal mereka siap dibina.
Tambah Iskandar, kehidupan penduduk rumah panjang dilihat terlalu dhaif untuk dibaikpulih dan dengan penyelesaian ini, penduduk akan dapat menikmati kediaman yang lebih sempurna dan sebuah sekolah akan dapat dibina untuk ribuan pelajar-pelajar di PJS1.