2 DITAHAN DICERAMAH ANWAR



Ceramah Anwar tukar ‘hodoh’, polis didakwa ganggu diserang

March 26, 2011

GOMBAK, 26 Mac — Majlis pelancaran “Datuk Najib Altantuya (DNA)” anjuran PKR di sini malam tadi berubah menjadi ‘hodoh’ apabila anggota polis cuba menghentikan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada meneruskan ucapannya, menyebabkan penyokong beliau marah lalu menyerang pasukan keselamatan.

Ketua Umum PKR itu, yang merupakan pemimpin terakhir berceramah malam tadi, telah menyampaikan ucapannya sekitar 13 minit ketika polis mula campur tangan sedangkan dikatakan telah diberi 15 minit untuk berucap.

Kira-kira 10 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) diletakkan untuk mengawal tempat majlis itu diadakan. Kebanyakan hadiirin, penyokong PR mula membaling kerusi dan botol air ke atas polis ketika cuba untuk menghalang Anwar daripada meneruskan ucapannya.

Anwar (gambar) sendiri telah berusaha untuk menenangkan hadirin tetapi suaranya tenggelam dalam kekecohan pada majlis dihadiri sekitar 800 orang.

Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengesahkan pihak polis menahan beberapa ahlinya. “Ada tahanan, anggota Angkatan Muda PKR ditahan di balai polis Taman Melawati,” kata Shamsul Iskandar kepada pemberita.

“Cara mereka (polis) bertindak, cuba untuk menahan beliau (Anwar) malam ini adalah sesuatu tidak wajar,” kata beliau.

“Kesabaran rakyat ada batasan,” kata beliau. Anwar tidak ditahan dan kemudian meninggalkan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuat serangan berhubung skandal pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T” dengan mendakwa pentadbiran Najib berkonspirasi untuk mengakhiri kerjaya politiknya.

Tiga “Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim mengakui melakukan pendedahan tersebut Isnin lalu.

Ketiga-tiga memberikan keterangan kepada polis semalam dan kelmarin. “Abdul Rahim adalah penjenayah, perogol dan beliau dijadikan pemimpin... mereka merakamkan bahan lucah dan mereka bebas,” kata Anwar.

“Saya ditahan dan dilayan macam anjing tetapi anda membiarkan mereka bebas selepas kenyataan dirakamkan,” kata Anwar lagi, dipercayai merujuk kepada penahanan beliau pada September 1998 dan Julai 2008.

Sehubungan itu katanya, sokongan rakyat diperlukan untuk menolak Umno dan menyampaikan mereka “satu pengajaran.” “Mereka ingat kita ini bodoh, ajar pemimpin-pemimpin Umno dan BN... beritahu mereka itu bodoh dan tolol,” kata Anwar lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Selangor Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, pihaknya meluahkan rasa kecawa dan mengecam tindakan pihak polis yang mengganggu majlis pelancaran DNA di Taman Melawati malam tadi.

“Tindakan ini mengakibatkan kecederaan kepada rakyat yang hadir termasuk wartawan dan pimpinan Angkatan Muda Keadilan. Lebih malang adalah apabila pihak polis bertindak menyalahi undang-undang dengan mengganggu majlis aman ini yang diadakan di kawasan persendirian.

“Pihak polis jelas menunjukkan sikap tidak profesional apabila menyerbu masuk kawasan persendirian ini dan cuba mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim di saat-saat pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun menutup ceramah beliau,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi.

Kata beliau, tindakan seperti ini membuktikan bahawa Umno-BN diketuai Datuk Seri Najib Razak takut kepada kebangkitan rakyat dan kebenaran akan terpancar menutupi fitnah yang cuba ditaburi dalam kes Saiful Bukhari dan video seks “Datuk T”.

“Di akhir kenyataan ini, AMK Selangor ingin menyeru agar pihak polis tidak perlu rasa takut dengan arahan dan tekanan pihak pemerintah Umno-BN. polis harus bertindak secara profesional dan berkhidmat kepada rakyat, bukan BN,” katanya lagi.

No comments: