Eskay Bak Si Kitol Dendam Anwar, Kata Bekas Pegawai Megat Junid


RAWANG 25 MAC : Bekas Pegawai Peribadi Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob tampil untuk mengesahkan Datuk Shazryl Eskay “berdendam” terhadap Anwar Ibrahim dan bertekad untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang itu.

Mohamad Mahti Abdul Rahim berkata Eskay memberitahunya bahawa beliau amat marah kerana Anwar enggan memberi keterangan dalam sebuah kes tuntutan saman RM20 juta membabitkan ahli perniagaan itu.

“Beliau (Eskay) memberitahu saya, biar apa pun terjadi, dia akan jatuhkan Anwar,’ Mahti memberitahu pemberita di Kuala Lumpur.

Eskay menzahirkan kemarahannya itu kepada Mahti semasa mahkamah berhenti rehat ketika perbicaraan itu pada awal bulan ini.

Eskay adalah satu daripada tiga Datuk T yang mendalangi fitnah video lucah untuk dikaitkan kepada Anwar sejak Isnin lalu.

Selain Eskay, turut terbabit adalah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Bendahari Perkasa Shuaib Lazim.

Mahti berkata beliau tidak mengetahui pembabitan Eskay dalam video lucah itu secara terperinci namun beliau mengambil keputusan untuk mendedahkan dendam Eskay terhadap Anwar.

"Beliau (Eskay) sangat marah dengan Datuk Seri Anwar sebab Anwar tidak mahu menjadi saksi" kata Mahti. "Bagi saya, Eskay ini adalah si Kitol yang memporak-perandakan negara. Saya tidak sanggup rakyat diperbodohkan oleh dia,"katanya.

Si Kitol dikenali dalam Sejarah Melayu sebagai watak yang menabur fitnah dan pandai mengadu domba sehingga menyebabkan keruntuhan Kesultanan Melaka.

Mahti berkata majikannya Allahyarham Megat Junid telah memperkenalkan Eskay kepada tokoh-tokoh politik termasuk Anwar dan Mahathir Mohamad.

Mahti, seorang bekas pegawai polis berkerja dengan Allahyarham Megat Junid dari tahun 1984 hingga 2000.

Shazryl sebelum ini menfailkan saman terhadap syarikat Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan Datuk Yahya A. Jalil kerana mendakwa beliau tidak dibayar RM20 juta sebagaimana dijanjikan.

Eskay menuntut bayaran itu kerana mendakwa mendapatkan projek Jambatan Bengkok di Johor untuk Syarikat Merong Mahawangsa.

Berita lanjut menyusul......

No comments: