Keadilan Islam selamatkan Melayu bukan ‘ketuanan Melayu’, kata Asri

Keadilan Islam selamatkan Melayu bukan ‘ketuanan Melayu’, kata Asri

December 27, 2010
Gambar fail Dr Mohd Asri Zainul Abidin
KAJANG, 27 Dis — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, masa depan orang Melayu akan terjamin jika sistem pentadbiran negara berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam, bukan Ketuanan Melayu yang menjadi polemik baru-baru ini.

“Yang boleh selamatkan orang Melayu bukan Ketuanan Melayu, bukan Raja-raja Melayu tetapi adalah Allah s.w.t.

“Jadi, kita perlu berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam yang mana Islam untuk semua sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

“Setiap kaum perlu diberi nilai dengan Islam, tiada nilai orang Melayu tanpa Islam. Umno dibina atas dasar Melayu tetapi kalau dibina atas dasar Islam ia akan jadi lebih luas,” katanya pada Forum Polemik Ketuanan Melayu di Dewan Majlis Perbandaran Kajang di sini malam tadi.

Beliau juga mempersoalkan apabila istilah Ketuanan Melayu menjadi laungan dan slogan pihak tertentu sedangkan maksud sebenar ungkapan itu tidak dijelaskan dengan baik.

“Kena jelaskan perkataan Ketuanan Melayu ini, apa yang dipertahankan dan diperjuangkan melalui istilah ini? Adakah ia bermaksud hak keistimewaan orang Melayu atau ada maksud lain? Adakah hak keistimewaan orang Melayu ini menggunakan istilah ini (Ketuanan Melayu)?

“Maksudnya tidak dijelaskan, adakah keistimewaan orang Melayu dan Ketuanan Melayu ini mempunyai maksud sama? Jadi bagi saya relevan jika orang Melayu berpegang kepada prinsip keadilan Islam.

“Ini kerana ketuanan merujuk kepada prinsip keadilan Islam bukan Melayu atau rakyat, apa yang berlaku adalah kekeliruan istilah. Kita kena perpandukan kepada prinsip keadilan Islam,” katanya.

Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran PAS itu adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabky Yusof dan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ezaruddin Abdul Rahman.

Tambah beliau, isu Ketuanan Melayu tidak perlu dibangkitkan kerana ia bukan satu keperluan untuk diperdebatkan.

“Istilah Ketuanan (Melayu) ini adalah istilah yang kabur, jadi ia bukan keperluan untuk dibangkitkan kecuali kalau ia diperjelaskan. Malah, tindakan orang Melayu yang menggunakan istilah ini menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang bukan Melayu yang mana mereka beranggapan Islam melakukan diskriminasi kaum.

“Mereka (orang bukan Melayu) bukan musuh, saya tidak nampak keperluan orang bukan Melayu adalah musuh kita, cuma banyak tindakan orang Melayu yang beri tanggapan sebaliknya.

“Kita perlu berbalik kepada Islam, Islam lebih luas tapi saya bimbang apabila istilah ini dimainkan ia akan meruncingkan lagi keadaan. Islam bukan eksklusif untuk orang Melayu sahaja, ia adil untuk semua,” katanya.

Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya Ketuanan Melayu ditinggalkan.

Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan Ketuanan Melayu diketepikan bagi memajukan orang Melayu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.

Dalam menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS itu berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Dr Hasan Mad menyifatkan polemik Ketuanan Melayu yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini sebagai “gegaran politik”, yang dimainkan pihak tertentu termasuk parti politik semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat.

Oleh itu, Hasan menggesa supaya perkara tersebut dihentikan serta-merta memandangkan ia tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, isu Ketuanan Melayu dibangkitkan selepas pilihan raya umum 2008 yang mana ia diperkatakan oleh orang Melayu bukan orang bukan Melayu.

“Sebelum pilihan raya umum 2008, tidak ada sesiapa pun yang sentuh perkara ini (Ketuanan Melayu), ia berlaku selepas pilihan raya umum 2008 dan yang timbulkan perkara ini juga adalah orang Melayu.

“Sebenarnya Ketuanan Melayu tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, cuma kalau boleh dikatakan ia adalah gabungan beberapa perkara yang dikumpulkan di bawah Perlembagaan.

“Jadi isu Ketuanan Melayu ini adalah gegaran politik, tidak lebih dari gegaran politik. Orang bukan Melayu tidak pernah persoalkannya pun, ia timbul secara tiba-tiba,” katanya.

Menurut Hasan, ada tiga kelompok yang menyebabkan isu Ketuanan Melayu menjadi polimek sehingga ia sukar untuk dihentikan termasuk pemimpin parti politik, cendekiawan dan kemungkinan orang bukan Melayu yang cuba mengambil kesempatan.

“Ada tiga kelompok, yang pertama adalah pemimpin parti politik yang mana mereka menjadikan politik sebagai satu perniagaan sehingga perkara yang tiada isu juga dijadikan isu termasuk Ketuanan Melayu.

“Sepatutnya lepas habis pilihan raya umum fokus kepada pembangunan negara tetapi sebab terlalu banyak berpolitik akhirnya bercakap perkara yang akhirnya mengelirukan,” katanya.

“Yang kedua adalah cendiekiawan yang mana kelompok ini menulis dalam media-media tentang apa yang mereka tahu sahaja.

“Banyak cendekiawan menulis dari sudut pemahaman mereka sahaja yang akhirnya juga memberikan kefahaman yang berbeza dalam perkara ini.

“Dan yang ketiga mungkin kelompok orang bukan Melayu yang akan mengambil kesempatan daripada pertelagahan orang Melayu ini. Kalau diteruskan tidak mustahil kelompok ini akan menangguk di air yang keruh,” katanya.

Beliau juga berkata perkataan Ketuanan Melayu tidak boleh diterjemahkan kepada perkataan “Malay supremacy” kerana maksudnya berlainan.

“Ketuanan Melayu bukan isu, ia bukan sesuatu yang harus diperdebatkan, ia cuma gegaran politik.

“Ketuanan Melayu ini hanya propaganda yang berlaku selepas pilihan raya 2008 yang mana pola pengundian ketika itu bersifat perkauman.

“Jadi ia dibangkitkan untuk mengekang pola pengundian itu daripada terus berlaku,” kata Ahmad Sabky.

Beliau berkata istilah Ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak tidak termaktub dalam mana-mana perjanjian termasuk perjanjian kemerdekaan.

“Istilah Ketuanan Melayu sendiri saya tidak jumpa di mana asalnya, dalam Perlembagaan tiada, perjanjian kemerdekaan pun tiada cuma yang ada dalam wikipedia.

“Istilah ini tidak wujud, ia cuma politik, Kita perlu cari maknanya dulu baru boleh nak cakap. Apa yang adalah dalam Perlembagaan adalah hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ezaruddin juga berpendapat polemik Ketuanan Melayu juga sekadar “gegaran politik” yang dimainkan untuk meraih sokongan.

“Ini satu gegaran politik sahaja, ia dimainkan golongan tertentu untuk meraih sokongan.

“Tiada maksud Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan tetapi ia diguna pakai oleh ahli politik, jadi saya harap tafsiran ini perlu diperjelaskan supaya tiada mazhab yang berbeza-beza,” katanya.

No comments: