SHAZNI SEDIA BEKERJASAMA


Kuala Lumpur 13 Julai 10:32│Shazni Munir Ithnin memaklumkan bahawa beliau sudah bersedia untuk membantu dan berkerjasama dengan polis.

Beliau yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sebelum ini dimaklumkan dicari polis bagi membantu siasatan berkenaan kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Ditanya berkenaan kehilangan beliau dan keengganan untuk bekerjasama dengan polis sebelum ini, beliau ada jawapan tersendiri.

“Tidak mahu bagi kerjasama kepada polis bukan bererti bersalah, saya mempersiapkan diri dengan peguam untuk berdepan dengan polis Malaysia.

“Saya ambil iktibar kes Kugan yang ditangkap, tanpa peguam, dan dibelasah dalam tahanan dan seterusnya mati begitu sahaja,”ujar beliau.

“Kita tak mahu diperlakukan oleh polis, disoal siasat secara melebihi batas undang-undang, dibelasah, dan pelbagai lagi perkara menyalahi etika polis, maka mendapatkan peguam ialah jalan terbaik untuk memastikan kedua-dua pihak (Polis dan Shazni) bekerjasama dalam batas undang-undang,”tambah beliau.

Namun beliau enggan mendedahkan maklumat peguam beliau.
Pensyarah mungkin ada masalah peribadi

Menjawab persoalan fenomena persatuan pimpinan beliau turut sama dikaitkan dalam kes ini, beliau beranggapan situasi tersebut mungkin dimulakan oleh beberapa individu yang mempunyai masalah peribadi.

“Rumour ini mungkin dicetuskan bermula dengan beberapa individu sahaja, dan dia mungkin ada masalah peribadi dengan saya. Dia mungkin fokus kepada isu-isu sebelum ini dan terus membabi-buta memberi konklusi mengaitkan saya dengan kes ini, ini tak adil jika saya belum terbukti bersalah,”ujar beliau.

Shazni juga meminta supaya tidak menyalahkan mana-mana pihak sebelum perbicaraan mahkamah selesai.

Dipercayai juga 2 lagi yang dicari polis, Mohd Aizat Roslan dan Mohd Saufi Jelani juga sudah bersedia dengan peguam masing-masing.

Izzuddin, Shahrul Deen dibicara pagi ini

Pagi ini kedua tertuduh, Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Shahrul Deen Mohd Rosli sedang dalam proses perbicaraan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

OKT ditahan buat kali pertama bermula 24 hingga pagi 30 Jun atas tuduhan tidak mempamerkan plat motosikal mengikut Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Sesyen 14(4) akta sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM3,000.

3 lagi pertuduhan tersebut ialah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan tersebut pada waktu dan masa yang sama.

Pertuduhan ketiga melakukan khianat dengan menggunakan api di bawah Seksyen 436 dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan seterusnya ialah menyimbah petrol di atas karpet dan menconteng dinding dewan utama fakulti itu.

Bagi pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.-mahasiswakini

No comments: