Tamparan Hebat Buat Umno

JAN 26 — Semua rakyat Malaysia tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal dalam usahanya untuk memujuk Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional menyertai Pakatan Rakyat bagi membolehkan beliau mengambil alih pemerintahan negara pada 16 September tahun lalu.



Tetapi ada orang yang telah lupa bahawa bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali juga gagal dalam usahanya untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak melalui lompat parti menyertai BN pada 31 Ogos tahun lalu.
Setelah lima bulan berlalu, Tajol yang masih memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan merangkap Pengerusi BN Perak mungkin berharap ramai orang akan terus lupa dengan episod politik yang agak memalukan itu.

Tetapi langkah sumbangnya itu tiba-tiba kembali menghantui beliau apabila berlaku sesuatu yang tidak disangka sama sekali.
Hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Umno dari Bota di Perak Datuk Nasarudin Hashim mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Keadilan Rakyat.

Beliau mencatatkan sejarah politik pasca-tusnami politik 8 Mac tahun lalu apabila menjadi Adun pertama dari BN yang melompat kepada parti gabungan Pakatan Rakyat.
Difahamkan, Nasarudin yang menjadi mangsa politik wang dan tekanan dalaman Umno khususnya di bahagian Parit telah membuat keputusan meninggalkan parti yang semakin sukar dipulihkan kemelut dalamannya.


Malah, kalangan pemerhati politik Umno di Perak meramalkan keputusan Nasarudin, yang juga bekas Pengerusi Felcra, akan menyerlahkan lagi masalah perebutan kuasa dan pengaruh di negeri itu.
Hakikat ini berbeza sama sekali dengan harapan besar Tajol Rosli pada tahun lalu yang berazam merampas kuasa dari Pakatan Rakyat di negeri. Pada Julai tahun lalu, Tajol Rosli begitu yakin dengan kemungkinan lebih dari dua wakil rakyat Pakatan Rakyat menyertai Umno.
Pada masa itu, BN hanya memerlukan dua kerusi untuk berkuasa semula berikutan majoriti kecil Pakatan, iaitu 31 kerusi berbanding BN 28.

Setelah usaha awal memujuk Adun PKR menyertai Umno gagal, Umno mencuba nasib dengan Pas tetapi jemputan itu dipandang sepi sahaja walaupun menawarkan Pas untuk terus memegang jawatan Menteri Besar dengan ditambah perwakilan dalam exco negeri.
Jika Pas benar-benar kemaruk kuasa, pujukan Tajol Rosli adalah tawaran terbaik untuk parti Islam itu kerana walaupun calonnya Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin kini adalah Menteri Besar, Pas hanya mempunyai enam wakil rakyat. Parti yang dominan dalam Pakatan Rakyat Perak adalah DAP dengan 18 kerusi dan PKR tujuh.

Tajol Rosli amat mengharapkan Pas menyertai Umno kerana ia akan memberikan sejumlah 34 kerusi kepada kerajaan campuran BN-Pas. Tetapi suara rasional dalam Pas khususnya dari Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menghampakan Umno.
Kepada mereka yang telah lupa, pada 3 Ogos tahun lalu, Tajol Rosli telah dipetik oleh media massa sebagai berkata: “Pakatan Rakyat Perak kini berada dalam keadaan goyah dan terumbang-ambing dengan pelbagai isu. Ini mungkin menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dan kecewa di kalangan wakil rakyat mereka. Sebab itu saya beritahu dengan Adun BN, yakinilah yang kerajaan negeri Perak akan tumbang pada 31 Ogos (2008)”.

Kini apa yang sebaliknya pula telah berlaku. Apa yang amat membimbangkan Umno di Perak ialah kemungkinan Adun-Adun dan Ahli-Ahli Parlimen Umno yang merasakan diri tertekan atau dipinggirkan dari parti mungkin mula berfikir untuk menyertai Nasarudin.
Lebih membimbangkan pucuk pimpinan Umno pusat ialah kemungkinan langkah Nasarudin akan menimbulkan rasa berani di kalangan wakil-wakil rakyat Umno, sama ada di peringkat DUN atau Parlimen, untuk mengubah selera.

Khabar-khabar angin semakin bertiup kencang dengan cerita lompat parti di beberapa negeri termasuk Sarawak yang berkemungkinan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal dari jangka hayat DUN pada 2011.
Pada November tahun lalu, Adun bebas dari Ngemah Gabriel Adit telah memilih untuk menyertai PKR setelah mendapati parti-parti komponen BN di Sarawak terlalu banyak dilanda masalah dalaman terutama dalam perebutan kuasa di kalangan pemimpin mereka.
Bagi Anwar dan para penyokongnya, 16 September tahun lalu adalah kepahitan politik yang terpaksa ditelan. Namun kini usaha menarik wakil-wakil rakyat BN mungkin lebih berhasil jika dilaksanakan secara diam-diam.

Tekanan semakin meningkat buat pucuk pimpinan Umno khususnya menjelang perhimpunan agung parti yang diadakan pada minggu akhir Mac depan untuk memilih barisan kepimpinan baru.
Keadaan bertambah buruk buat Umno apabila tewas di kubu kuat dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu di mana dengan jelas dilihat undi Melayu telah beralih kepada Pas.

Jika Umno terus memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap desakan rakyat untuk berubah menjadi parti yang lebih bersifat terbuka, tidak mengamalkan politik wang, tidak menyalahgunakan kuasa dan tidak perkauman, tidak mustahil lebih ramai lagi “Nasarudin” akan menyeberangi jambatan menuju kea rah Pakatan Rakyat.
Sama ada melompat parti sekarang atau menanti untuk berentap dalam pilihan raya umum akan datang, senario politik negara semakin teruja kerana rakyat yang mula sedar hak-hak mereka kini menuntut pelaksanaan keadilan dan kebebasan.