Ibarat kisah orang baru berkasih atau dapat isteri. Semuanya manis, baik dan indah belaka. Namun, bila berpisah, pasti ada yang dipersalahkan.
Budaya menyalahkan orang lain juga bukan baru dalam masyarakat di negara ini termasuk dalam dunia politik.
Ada pemimpin yang kecewa kerana tidak dicalonkan pada pilihan raya, tidak dilantik memegang jawatan atau kalah pemilihan parti bertindak keluar parti dengan sebahagian mereka akan menyalahkan parti.
Sebelum ini dua pemimpin Gerakan, iaitu Datuk Dr Tan Kwee Kwong menyertai PKR diikuti Datuk Lee Kah Chon di Pulau Pinang .
Kemudiannya, Naib ketua wanita MCA, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew juga keluar parti itu dan sertai PKR di Selangor.
Bekas setiausaha parlimen itu ketika keluar MCA pada Julai lalu juga menyalahkan parti yang sekian lama dianggotainya dan memperolehi macam-macam nikmat jawatan serta pangkat.
Terbaru, bekas ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim keluar parti dan menyertai PAS bersama 28 ketua cawangan termasuk 13 ahli jawatankuasa bahagian itu. Dalam bahagian Petaling Jaya Selatan semuanya ada 96 cawangan UMNO.
Beliau juga menyalahkan UMNO dengan mengatakan parti itu yang mengkhianatinya
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu turut mendakwa pemimpin atasan parti yang ada sekarang sudah tidak berkualiti malah ada terbabit rasuah.
Zahar, 61, ketika berucap di majlis menyerahkan borang keahlian PAS kepada timbalan presiden parti itu, Nasaruddin Mat Isa di Ampang, Rabu berkata, beliau tidak kesal keluar UMNO walaupun sudah menyertainya lebih 26 tahun.
Kapten tentera bersara itu bagaimanapun menafikan tindakan penggantungan yang diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 2 Disember lalu punca beliau melompat parti.
Katanya, sejak keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu,beliau bersama penyokongnya sering berbincang baik buruk sama ada untuk kekal dalam UMNO, bersara politik atau sertai parti lain.
“Bila Majlis Tertinggi UMNO gantung saya, UMNO sudah buat keputusan untuk kami dan kami terus keluar,” katanya di majlis yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali.
Dalam ucapannya, Zahar berkata, beliau tidak lagi menghormati pemimpin tertinggi UMNO yang didakwanya membuat keputusan dengan tidak mengambil kira kepentingan dan kehendak rakyat, khasnya orang Melayu.
Katanya, PAS dan UMNO adalah sama tetapi PAS lebih baik dari UMNO yang pernah beliau sertai sejak 26 tahun lalu.
Ditanya kenapa beliau memilih PAS dan bukan PKR, Zahar berkata, PKR bukanlah parti yang memperjuangkan Melayu.
Beliau juga menyatakan, keputusannya menyertai PAS bukan untuk memegang jawatan kerana sudah tiga pilihan raya umum beliau tolak cadangan menjadi calon.
“Begitu juga apabila ditawarkan mengambil alih jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,menggantikan Tan Sri Onn Ismail yang uzur, saya tolak,” katanya.
Bagaimanapun, pada sidang media kemudiannya, Zahar nampak lebih banyak menyalahkan pemimpin UMNO termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa melalui pelan peralihan kuasa.
Beliau turut membidas Tan Sri Muhamad Muhd Taib yang masih menjadi menteri, ketua Penerangan UMNO dan Senator sedangkan bekas Menteri Besar Selangor itu pernah berdepan macam-macam masalah.
Zahar turut mendakwa, Muhamad bersama tujuh atau lapan ketua UMNO bahagian di Selangormenemui Perdana Menteri meminta supaya beliau dilantik sebagai ketua perhubungan UMNO Selangor, menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo selepas Selangor jatuh kepada pembangkang.
Katanya, beliau juga tidak kesal meninggalkan UMNO kerana orang Melayu sudah meluat dengan kepimpinan parti termasuk di Selangor.
Beliau juga menjawab soalan wartawan mengenai isu pembelian Eurocopter yang pernah dibangkitkan sebelum ini.
Syarikatnya adalah antara beberapa syarikat yang memasuki tender untuk mendapatkan kontrak pembelian tersebut.
Ditanya mengapa beliau meninggalkan UMNO selepas mendapat kemewahan dari parti tersebut, Zahar berkata, sebelum beliau masuk parti itu, beliau sudah pun ada banglo dan kereta mercedes.
Zahar berkata beliau akan bersama jentera PAS untuk membantu kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, yang berlangsung antara 6 sehingga 17 Januari ini.
Tambahnya, beliau akan mula berkampung di kawasan itu sepanjang kempen mulai 5 Januari, sehari sebelum penamaan calon.
Sementara itu Nasharuddin berkata, program pertama Zahar sebagai ahli PAS ialah menemui presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila dalam masa terdekat.
"Zahar sudah bersama kita sekarang sebagai jentera penggerak dan anggota parti untuk membela bangsa, agama dan negara,” katanya.
Apapun tindakan Zahar, itu adalah haknya tetapi dengan menyalahkan parti yang sudah mendarah dagingnya hampir 30 tahun boleh menyebabkan ada pihak akan menilainya seperti kacang lupa kulit.- . 24/12/2008.