PAS perlu ganti MB Kelantan atau ditinggalkan rakyat

Oleh: Amirulmukminin

Malapetaka banjir yang melanda Kelantan selama 10 hari memperlihatkan ketidak cekapan dan kekurangan kredibiliti pentadbiran MB Ahmad Yaakob dalam mengurus bencana.
Ahmad jangan terlalu berharap kepada Najib

Kerajaan PAS Kelantan sebaliknya lebih mudah menyalahkan agensi persekutuan kerana lambat memberi bantuan. Sedangkan agensi negeri juga tidak kurang lemahnya.

Dalam keadaan tidak menentu, kelihatan pentadbiran Ahmad Yaakob hilang arah dan terlalu mengharapkan kerajaan BN. Bantuan daripada sukarelawan PAS yang boleh menggantikan peranan kerajaan pusat pula  tidak berjaya diorganisasikan secara baik.

Sepanjang tempoh itu hanya beberapa pemimpin yang kelihatan menonjol di Kelantan. Antara yang paling terserlah adalah Husam Musa. Husam menunjukkan beliau berwawasan dan tidak hilang punca menghadapi malapetaka.

Husam pernah dicalon MB

Kesungguhan Husam memperlihatkan kepada dunia, sudah tiba masanya kerajaan Kelantan mempunyai MB baru yang lebih kredibel. Lagi pun MB Ahmad Yaakob bukanlah calon yang dilihat layak oleh bekas MB Nik Aziz Nik Mat. Nik Aziz sebenarnya mahu Husam dilantik MB menggantikan beliau. Husam, pemegang ijazah ekonomi Universiti Malaya dilihat mampu membangunkan Kelantan.

Menurut sumber dalaman PAS, Nik Aziz telah menamakan Husam sebagai penggantinya sebaik sahaja PAS menang pada pilihan raya 5 Mei 2013 lalu. Malangnya, sultan Kelantan didakwa tidak berkenan kepada Husam dan PAS Kelantan terpaksa memberi nama lain. Maka Ahmad Yaakob diangkat sebagai MB.

Terdapat juga dakwaan yang menyebut berlaku tawar menawar tempoh Ahmad memegang jawatan MB. Dakwaan tersebut tidak banyak berbeza dengan MB Terengganu Ahmad Said yang dibenar memegang jawatan MB hanya untuk tempoh setahun selepas 5 Mei dan kemudian beliau diminta berundur memberi peluang muka baru memegang kuasa.

Selepas segala kelemahan pentadbiran Ahmad Yaakob yang terpapar sepanjang setengah bulan banjir, terdapat unsur dalaman PAS yang mahu ustaz itu berundur dan pelan asal Nik Aziz dilaksanakan.

Lagi pun sultan Kelantan mungkin tidak lagi mempunyai halangan sama terhadap Husam setelah melihat prestasi Husam mengendalikan krisis kemanusiaan di negeri itu.

Dalam hal ini, PAS Pusat wajar meminta PAS Kelantan menyediakan pelan penggantian MB sebagaimana Terengganu dan Selangor melakukannya.

Husam membina keyakinan rakyat

Seandainya Ahmad tidak diganti maka rakyat yang menyaksikan kelemahan beliau tidak akan teragak-agak  untuk mengganti PAS dalam PRU akan datang. Sekurang-kurangnya Husam telah memberi amaran 27 Dun PAS yang terlibat banjir seboleh-bolehnya jangan ‘hanyut’ dalam arus bantuan pemulihan BN.

PAS tidak akan mampu untuk melawan peruntukan material RM 500 juta dari kerajaan pusat melalui JKKP. Dan pemimpin PAS, Adun atau ketua kampung PAS tidak mungkin diundang dalam majlis pemberian bantuan. Borang Umno pula perlu diisi oleh rakyat untuk mendapatkan bantuan.

Tidak mungkin PAS akan survive dengan hanya memberi ceramah, tahlil atau sembahyang hajat sepanjang tempoh itu. Melainkan PAS melantik pemimpin yang boleh meyakinkan rakyat Kelantan mereka boleh bangkit semula selepas banjir.

Hanya Husam yang mempunyai karisma sedemikian. Hanya beliau yang boleh memberikan keyakinan dari sudut ekonomi serta pentadbiran.

No comments: