Bencana Kelantan: Husam lebih berwibawa

 Oleh: Amirulmukminin

Pengurusan bencana banjir di Kelantan menunjukkan kelemahan ketara kerajaan negeri pimpinan MB Ahmad Yaakob. Khabarnya, Sultan Kelantan juga kurang berpuas hati dan menubuhkan unit pengurusan banjir dan penyampaian bantuan sumbangan di bawah nama baginda sendiri.

Kelemahan jentera negeri Kelantan terserlah apabila bantuan banjir - menurut sukarelawan yang berkunjung ke negeri itu - tidak diurus dengan baik. Banyak bantuan pakaian terpakai terbiar di pusat pemindahan.

Sementara kawasan yang memerlukan kekurangan bekalan bantuan. Tiadak ada komunikasi berpusat dalam kalangan agensi kerajaan negeri. Penyumbang bantuan menghantar bantuan setelah mendapat makluman daripada mangsa banjir atau kawan-kawan yang telah pergi ke kawasan terjejas. Akibatnya berlaku lambakan bantuan di kawasan tertentu.

Husam hero
Kerajaan negeri juga tidak menyenaraikan bantuan paling diperlukan penduduk negeri. Bantuan yang paling mustahak adalah alat memasak, alat penapis air dan lilin. Hal itu berikutan bekalan elektrik hanya pulih 70 peratus dan air bersih 60 peratus di seluruh negeri.

Malah pada awal banjir, kerajaan PAS di bawah ustaz Ahmad tidak kelihatan bersedia dan hanya mengikut nasihat agensi kerajaan pusat. Kononnya banjir tidak akan menjadi malapetaka.

Timbalan Menteri Besar Nik Amar pula menyakitkan hati rakyat dengan pengumuman beliau ketika 70 peratus negeri Kelantan ditenggelami banjir. Nik Amar bertegas siding khas Dun meminda enakmen Hudud Kelantan mungkin diteruskan walaupun dalam keadaan bangunan SUK ditenggelami air.

Rakyat amat marah dengan sikap yang tidak memperdulikan keselamatan orang awam tetapi berkeras menumpukan Hudud yang boleh ditangguhkan.

Sebaliknya, dalam keadaan gawat seperti itu Husam muncul sebagai hero. Beliau menghubungi Menteri Besar Selangor Azmin Ali. Usaha Husam membuahkan hasil apabila Azmin datang melawat Kelantan dan memberikan sumbangan RM1 juta bantuan segera kemudian menjanjikan bantuan RM5 juta membaiki rumah penduduk.

Ahmad utamakan BN

Ahmad Yaakob pula bertindak sebaliknya, menunggu ketibaan Najib Razak melawat mangsa banjir dan mengharapkan kerajaan pusat membantu negeri. Ahli PAS terkilan kerana MB ini tidak mempunyai kekuatan seperti Nik Aziz yang mengutamakan rakan Pakatan Rakyat berbanding pemimpin kerajaan BN yang menindas negeri sejak sekian lama.

Husam menunjukkan keupayaan mengumpul dana bagi operasi pasca banjir beberapa hari kemudian. Husam juga membuat kenyataan akhbar setiap hari pada waktu banjir. Sedangkan MB, TMB dan exco hampir senyap dan seolah-olah kerajaan Kelantan tenggelam bersama para pemimpinnya.

Persoalannya, Husam bukanlah exco dan tidak mempunyai jawatan dalam pentadbiran negeri. Namun cara beliau bertindak mengkagumkan ahli PAS dan rakyat Kelantan. Beliau membuktikan dirinya lebih cekap berbanding Ahmad Yaakob dan Nik Amar.

Dalam keadaan Kelantan musnah hampir keseluruhannya dilanda banjir, adalah lebih baik Husam dilantik sebagai MB yang baru bagi melancarkan pembangunan negeri. MB dan barisan exco sedia ada terbukti gagal menangani banjir dan wajar ditukar.