Kalau ikut mufti Pahang, kenalah sokong BN sampai kiamat – Shahbudin Husin

ha..ha..ha...macamana la bangsa dan ugama lain nak dekati islam kalau mufti cakap macam ni.....adoiiii, nak cakap pun malu.Tak boleh baca kitab semata-mata, tetapi baca berita sari bahan lain.Mufti ni besar kuasanya, tapi kena banyak membaca dan juga jangan jadi katak bawah tempurung.


Setelah mengeluarkan pendapat meminta rakyat agar menyokong perlaksanaan cukai GST yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan beberapa hari lalu, mufti Pahang, Abdul Rahman Othman sekali lagi menampakkan dirinya sebagai seorang agamawan yang gemarkan perhatian dan tumpuan, khususnya daripada pihak kerajaan.

Jika kenyataannya sebelum ini yang meminta rakyat menyokong GST dipertikaikan banyak pihak kerana beliau ditakrifkan tidak mempunyai cukup pengetahuan mengenai ekonomi serta percukaian dan pendapatnya dikeluarkan semata-mata kerana kedudukannya sebagai mufti, kali ini kenyataannya lebih menarik perhatian apabila beliau menyatakan Islam melarang menggulingkan kerajaan dan memburuk-burukkannya secara terbuka.

Sambil menasihatkan rakyat agar sentiasa taat kepada kerajaan melainkan jika menggalakkan aktiviti maksiat, katanya lagi, haruslah diingat bahawa Islam menggalakkan segala masalah yang berbangkit diselesaikan melalui perbincangan dan bukannya dengan cara memburuk-burukkan kerajaan.
Sebagaimana biasa, setiap kali adanya demontrasi ia sering dikaitkan dengan usaha menggulingkan kerajaan sedangkan Pakatan Rakyat diketahui umum lebih ingin menukar kerajaan melalui proses pilihanraya setiap lima tahun sekali.

Apa yang sering dipertikaikan ialah proses pilihan raya yang disifatkan tidak adil, berat sebalah dan penuh tipu daya sehingga ia dikatakan antara sebab Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa sehingga ini.

Walaupun difahami oleh rakyat bahawa istilah menggulingkan kerajaan yang dilarang itu ialah percubaan menjatuhkannya secara kekerasaan dan menggunakan senjata atau menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya menjatuh atau memburuk-burukkan kerajaan yang dipilih dalam pilihanraya atau perdana menteri yang dipilih oleh rakyat, malangnya mufti tersebut tidak menghuraikannya secara terperinci kenyataan beliau.

Abdul Rahman hanya menyatakan pendapatnya itu bersandarkan ijmak ulama Mohamad Abdullah tetapi mengelak untuk berhujah lanjut dengannya sambil berkata, "jika tidak percaya pergilah berhujah dengan ulama yang membuat ketetapan itu".

Kenyataannya yang tergantung dan sekerat jalan ini tentunya boleh mengelirukan dan membuatkan sesetengah orang yang cetek ilmu dan pengetahuan terus beranggapan bahawa usaha menukar kerajaan BN sedia ada atau mengkritik pelbagai kesilapan atau kecurangan kerajaan sebagai suatu dosa besar.

Tentulah ada yang lebih fanatik akan beranggapan bahawa kerajaan yang sedia ada hendaklah dikekalkan sampai bila-bila atau sehingga kiamat kerana percaya menukar kerajaan atau memburuk-burukkan adalah perbuatan berdosa besar dan boleh menyebabkan terhumban ke neraka.

Ia tidak ubah seperti kenyataan mufti Perak, Harussani Zakaria sebelum ini yang menyifatkan peserta demonstrasi sempena tahun baru sebagai golongan "bughah" dan darahnya halal dibunuh.
Nampaknya, selain mufti Perak, ada seorang mufti yang suka perhatian daripada kerajaan dengan mengeluarkan kenyaaan kontroversi tetapi tidak dihuraikan sepenuhnya.

Tidaklah dipastikan apakah tujuan kedua-dua mufti ini mengeluarkan kenyataan separuh masak seumpama itu, tetapi yang jelasnya ia menambahkan lagi kekeliruan masyarakat dan umat Islam.

Sementara ada yang tidak bersetuju, tentulah yang bersetuju juga ramai sedangkan sebagai mufti mereka seharusnya mengeluarkan hujah yang senada yang bersandarkan kepercayaan kepada Tuhan yang satu, Al-Quran yang satu dan juga ajaran Nabi Muhammad yang satu.

Adalah lebih baik para ulama dan mufti lebih memfokuskan kepada pelbagai masalah dan penyelesaian yang bertimbun-timbun dalam masyarakat daripada ghairah ikut campur dalam konflik politik yang dengan mudah dapat dibaca "kilat dalam kilaunya" atau maksud tersiratnya daripadanya.

Dengan adanya para ulama dan mufti seperti ini, benarlah kata orang-orang beragama dan berilmu dahulu bahawa "pemerintah yang baik ialah yang selalu mendekati ulama tetapi ulama yang tidak baik ialah yang selalu mendekati pemerintah". – shahbudindotcom, 5 Mei, 2014.

 


* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

berkongsi di laman sosial

No comments: