Therealnehuism
TERKINI TENTANG KEMELUT N9 | Retak Menanti Belah — Darurat atau Pilihan Raya Mengejut Kini Kelihatan Tidak Dapat Dielakkan
Minggu lalu, menurut jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, krisis di Negeri Sembilan dikatakan sudah “settle” selepas satu pertemuan antara pimpinan tertinggi PH dan Umno.
Kenapa Fahmi berkata begitu?
Menurut Fahmi, kemelut di Negeri Sembilan dianggap sudah "settle" kerana selepas mesyuarat itu, pimpinan tertinggi PH dan Umno bersetuju bahawa ADUN-ADUN Umno akan terus menyokong kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun, dan sekiranya timbul sebarang masalah antara Umno dan PH di Negeri Sembilan, perkara itu akan dirujuk kepada kepimpinan pusat kedua-dua parti.
Tetapi benarkah kemelut di Negeri Sembilan sudah benar-benar "settle" seperti yang Fahmi umumkan ?
Sudah tentu tidak — Fahmi mungkin hanya mangatakan yang ianya sudah "settle" kerana apa lagi yang boleh dia katakan - sebagai seorang jurucakap kerajaan, ,memang itu sahaja yang boleh dia cakap, tak kira lah sama ada apa yang dia cakap itu adalah hakikat ataupun tidak.
Kalau difikirkan secara logik, jika kemelut di Negeri Sembilan benar-benar sudah selesai, maka sebarang isu yang timbul di Negeri Sembilan pada masa depan tidak perlu pun dirujuk kepada pimpinan pusat PH dan Umno untuk diselesaikan, bukan? Ia sepatutnya boleh diselesaikan di Negeri Sembilan sendiri oleh wakil dan pemimpin Negeri Sembilan.
Malah, hakikat bahawa isu-isu di Negeri Sembilan kini perlu dibawa ke peringkat pusat untuk diselesaikan sebenarnya boleh dianggap sebagai petanda bahawa krisis di Negeri Sembilan ini hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi sebelum mencetuskan pengisytiharan Darurat.
Secara asasnya, hanya apabila Darurat diisytiharkan di sesebuah negeri, urusan negeri itu akan dikendalikan oleh kerajaan pusat dan bukannya kerajaan negeri.
Jadi, berdasarkan logik itu, apabila Negeri Sembilan kini berada dalam keadaan di mana masalah dalam negeri perlu dirujuk dan diselesaikan oleh pimpinan pusat PH dan Umno, bukankah itu menunjukkan bahawa Negeri Sembilan sebenarnya sudah berada dalam keadaan Darurat tidak rasmi atau Darurat secara tidak langsung?
Dan sebagai satu lagi petunjuk bahawa krisis ini masih belum selesai, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, turut mengesahkan bahawa empat jawatan exco yang dikosongkan oleh ADUN Umno tidak akan diisi buat masa ini. Sebaliknya, portfolio tersebut akan dipikul sementara oleh enam lagi anggota exco PH yang masih ada.
Cuba kita fikirkan sejenak.
Kalau krisis di Negeri Sembilan benar-benar sudah selesai seperti yang Fahmi katakan, bukankah agak pelik apabila hanya PH yang kini menjalankan pentadbiran kerajaan negeri, dan hanya 6 daripada 10 jawatan exco di Negeri Sembilan diisi?
Hakikat bahawa hanya sehari selepas Fahmi mengumumkan krisis itu telah selesai, Aminuddin pula sudah menggesa ahli-ahli PH bersedia menghadapi pilihan raya mengejut dalam satu ceramah mega di Paroi juga menunjukkan bahawa kenyataan Fahmi itu adalah tidak berasaskan realiti.
Dan hakikat bahawa sehari selepas ceramah PH itu, Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Fadil Zin, pula menyatakan bahawa Umno bersedia bergerak solo dalam pilihan raya negeri akan datang — lebih-lebih lagi selepas beberapa pemimpin Pakatan Harapan secara terbuka menyerang Barisan Nasional dalam ceramah mega malam sebelumnya — jelas menunjukkan bahawa jaminan Fahmi itu sebenarnya tidak berharga.
Jadi kalau kedua-dua PH dan Umno sudah bersedia untuk membawa pertikaian mereka ke tahap seterusnya di Negeri Sembilan, apa sebenarnya yang mereka tunggu?
Kalau ditanya kepada saya, jawapan saya ialah mereka hanya menunggu masa yang sesuai.
Ahli politik hanya akan bertarung hanya jikalau ada ganjaran untuk dimenangi.
Ganjaran itu boleh datang dalam bentuk jawatan, pengaruh, darjat, kemuliaan ataupun nama — tetapi sesebuah parti politik atau seseorang ahli politik mesti mempunyai sesuatu untuk dimenangi sebelum mereka akan turun ke gelanggang untuk bertarung.
Buat masa sekarang, PH dan Umno masih belum bertembung secara terbuka kerana belum ada apa-apa yang boleh mereka menangi.
Jika mereka bergaduh sekarang, satu-satunya perkara yang mereka akan dapat hanyalah malu dan kecaman rakyat, kerana rakyat akan menyalahkan mereka kerana mencetuskan masalah politik ketika rakyat sedang berdepan isu yang jauh lebih penting seperti ekonomi dan kos sara hidup.
Sebab itu kedua-dua pihak sedang menunggu masa yang paling sesuai — masa di mana rakyat sendiri mungkin akan menyokong mereka apabila mereka akhirnya mula menyerang antara satu sama lain.
Bilakah masa yang sesuai itu akan tiba?
Kita tidak boleh meramal denga tepat bila masa ini akan sampai , kerana sama seperti dalam pergaduhan fizikal, kita tidak boleh menentukan dari awal lagi bila masa terbaik untuk menumbuk atau menendang lawan. Dalam politik pun begitu.
Apa yang boleh kita lakukan ialah membuat persiapan dan menumpukan perhatian terhadap perubahan keadaan, bagi menunggu peluang yang baik datang sebelum kita membuka langkah.
Namun begitu, kalau ditanya kepada saya, masa yang sesuai itu mungkin akan tiba dalam masa yang terdekant, dan ia berkemungkinan besar akan tercetus melalui krisis institusi diraja di Negeri Sembilan.
Setakat ini, kemelut antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan empat Undang yang memilih baginda dilihat semakin meruncing.
Di satu pihak, Undang Sungai Ujong telah dilucutkan dan digantikan, walaupun tindakan itu sendiri telah membuka satu lagi rangkaian masalah yang baharu.
Pada masa yang sama, keempat-empat Undang Negeri Sembilan juga dilihat mula melawan balik dengan membawa pertikaian itu ke mahkamah.
Pendek kata, saya berani mengatakan bahawa tidak lama lagi, pertikaian antara Yang di-Pertuan Besar dan empat Undang akan menjadi semakin serius sehingga memaksa Umno dan PH memilih pihak. Kedua-dua parti ini kemudiannya akan menggunakan krisis diraja itu untuk menampilkan diri sebagai pembela adat dan tradisi Negeri Sembilan — sambil dalam masa yang sama melancarkan pertembungan politik antara mereka demi kepentingan dan cita-cita politik masing-masing.
Maksudnya, buat masa ini, apa yang kita perlu lakukan hanyalah memerhati bagaimana krisis diraja itu berlangsung.
Itulah juga barangkali yang sedang dilakukan oleh Umno dan PH sekarang.
Sebaik sahaja krisis diraja itu membuka ruang, sama ada PH atau Umno akan mengambil kesempatan itu untuk masuk campur, sehingga akhirnya Darurat ataupun pilihan raya mengejut diishtiarkan di Negeri Sembilan.
Secara peribadi, saya tidak rasa kita perlu menunggu terlalu lama untuk melihat perkara itu berlaku. Melihat bagaimana krisis diraja di Negeri Sembilan semakin memuncak sekarang, saya rasa dalam tempoh sebulan dua ini sahaja kita mungkin akan menyaksikan episod seterusnya dalam krisis politik di Negeri Sembilan.
Jadi itulah gambaran sebenar tentang apa yang sedang berlaku di Negeri Sembilan hari ini.
#NegeriSembilan #KrisisNegeriSembilan #BarisanNasional #UMNO #PakatanHarapan #AminuddinHarun #JalaluddinAlias #therealnehruism
No comments:
Post a Comment