Piala Dunia 2026: Mexico Kena Kecam Cuba Pendekkan Sesi Persekolahan








 Presiden Claudia Sheinbaum berkata pada 11 Mei 2026, kementerian pendidikan dan agensi kerajaan lain akan mengadakan pertemuan untuk mendapatkan pandangan ibu bapa serta menilai semula pilihan yang ada.

MEXICO CITY, 11 Mei – Mexico membatalkan rancangan untuk memendekkan tahun persekolahan menjelang Piala Dunia 2026 selepas menerima bantahan dan kecaman meluas daripada ibu bapa, badan pemikir dan pihak berkuasa tempatan, menurut sumber kerajaan kepada AFP, hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha Pendidikan, Mario Delgado secara mengejut mengumumkan tahun persekolahan akan ditamatkan lebih awal kira-kira 40 hari iaitu pada 5 Jun, dengan alasan keputusan itu turut dipengaruhi gelombang panas.

Namun Presiden, Claudia Sheinbaum berkata semalam, kementerian pendidikan dan agensi kerajaan lain akan mengadakan pertemuan untuk mendapatkan pandangan ibu bapa serta menilai semula pilihan yang ada.

Rancangan Mexico mahu memendekkan sesi persekolahan sempena Piala Dunia 2026 dibantah keras ibu bapa menyebabkan pelan asal dikaji semula.

Beliau berkata, tahun persekolahan akan kekal berakhir seperti dijadualkan iaitu pada 15 Julai, diikuti cuti enam minggu sehingga 31 Ogos.

Piala Dunia yang dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada akan bermula pada 11 Jun, dengan Mexico menentang Afrika Selatan di Mexico City pada aksi pembukaan.

“Matlamatnya adalah mengekalkan tempoh cuti enam minggu seperti biasa dan mungkin ada pelajar yang bermula lebih awal manakala yang lain mengikut jadual lama,” kata Sheinbaum sebelum ini.

“Keputusan ini perlu dibuat secara konsensus. Sekarang kami perlu mendengar pandangan semua pihak.”

Sebelum ini, dua negeri di Mexico sudah menolak cadangan itu.

Sekolah di negeri Jalisco hanya akan menangguhkan kelas selama empat hari ketika Guadalajara menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia.

Gabenor negeri, Nuevo Leon pula mengesahkan sekolah di wilayah itu akan mengekalkan kalendar asal walaupun Monterrey menjadi antara bandar tuan rumah.

Ibu bapa turut mempersoalkan langkah itu yang menurut badan pemikir, Mexico Evalua boleh menjejaskan pembelajaran pelajar.

“Keputusan ini akan mengurangkan masa pembelajaran efektif untuk 23.4 juta pelajar,” kata laporan Mexico Evalua.

Sheinbaum pada masa sama memberi jaminan aspek keselamatan akan diperkukuh sepanjang kejohanan serta projek infrastruktur utama termasuk kerja naik taraf Stadium Azteca dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City akan disiapkan. – AFP



No comments: