Saya tak umum had 150 liter pun – Chin Tong dakwa kenyataan BUDI95 disalah faham


 


Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong tampil menjelaskan bahawa kenyataannya mengenai program subsidi petrol RON95 atau BUDI95 telah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan awam.

Menurut beliau, tiada sebarang pengumuman baharu dibuat bagi pihak kerajaan termasuk dakwaan kononnya kerajaan mahu menetapkan had penggunaan petrol sebanyak 150 liter.

“Saya tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan,” katanya dalam satu penjelasan rasmi hari ini.

Liew berkata kenyataan asal itu dibuat ketika sesi Fireside Chat bertajuk Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better sempena Persidangan Tinjauan Masa Hadapan Pasaran Affin anjuran Affin Group.

Beliau menjelaskan bahawa BUDI95 sebenarnya merupakan satu mekanisme penting untuk membantu kerajaan memahami corak penggunaan petrol dan perjalanan harian rakyat Malaysia secara lebih menyeluruh.

Menurutnya, data sedemikian penting bagi memastikan pengurusan subsidi bahan api dapat dilakukan secara lebih berkesan pada masa depan.

Katanya lagi, keutamaan kerajaan ketika ini ialah memastikan bekalan petrol negara dapat bertahan lebih lama terutama dalam suasana ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Masyarakat kita mesti memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh yang paling lama, dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol,” katanya.

Liew turut melahirkan kekesalan terhadap salah faham yang timbul susulan kenyataannya itu dan berharap semua pihak dapat melihat konteks penuh perbincangan berkenaan isu subsidi bahan api serta cabaran krisis tenaga global.




No comments: