Apa di sebalik kegagalan sistem pendidikan Malaysia?
Dengan begitu ramai guru cemerlang meninggalkan sistem serta anak muda berhijrah, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi siapa yang berani untuk mengambil tindakan?
Beberapa bulan yang lalu, seorang
rakan yang merupakan guru bahasa Inggeris sekolah menengah memberitahu saya
bahawa dia telah memohon untuk bersara secara pilihan.
“Kenapa?
Kan ada banyak lagi tahun sebelum bersara,” saya bertanya.
“Cukuplah.
Terlalu banyak kertas kerja,” jawabnya. “Dan hari ini, semuanya pasal markah….
Kemudian … ada lagi hal lain…. Awak pun tahulah, sistemnya!”
Saya tahu
betul apa yang beliau maksudkan. Dirinya, seperti ramai penjawat awam etnik
minoriti lain, telah pun mencapai siling kacanya! Tidak ada harapan langsung
untuknya dapat menaiki tangga perkhidmatan awam dan meneruskan peranan yang
lebih dinamik.
Saya
berpeluang bekerja bersama dengannya sebelum ini dan tahu beliau seorang guru
yang cemerlang dan guru sumber daerah yang menjadi sumber rujukan di peringkat
negeri. Beliau pastinya akan menjadi contoh yang sangat baik sebagai pemimpin
sekolah.
Semua
orang tahu tentang dasar ‘tidak bertulis’ seperti ini, sebahagian daripadanya
mungkin didalangi oleh ‘Napoleon kecil’ dalam sistem, dengan agenda perkauman
peribadi yang mempengaruhi segala galanya. ‘Dasar’ ini boleh menjadi sesuatu
yang sangat tidak menggalakkan serta mengenepikan peranan guru yang berdedikasi
seperti beliau.
Ada juga seorang lagi guru yang saya kenali. Beliau adalah seorang guru bahasa Inggeris yang mahir dengan ijazah kedoktoran dalam pendidikan dan mempunyai pengalaman mengajar yang luas. Namun, beliau pun hanya menunggu masa sebelum memilih untuk keluar dari sistem dalam beberapa tahun.
Sebagai
seorang guru etnik berbangsa minoriti, beliau telah dimaklumkan bahawa beliau
tidak akan dilantik sebagai pengetua sekolah mana-mana sekolah kebangsaan
(melainkan ia adalah sekolah mubaligh) – kerana peranan sedemikian kononya
sudah dikhaskan untuk orang dari kumpulan etnik tertentu.
Jadi,
siapa yang menulis dasar ‘tidak bertulis’ seperti ini?
Ini bukan
perkara baru bagi saya. Namun, ia cukup menyedihkan saya. “Dasar’ ini tidak
menggalakkan calon etnik minoriti yang berpotensi daripada menjadi pendidik
kerana peluang kemajuan kerjaya yang terhad untuk mereka.
Dengan
begitu ramai guru cemerlang meninggalkan sistem dan begitu ramai anak muda
berhijrah, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi siapa yang berani untuk
mengambil tindakan?
Dalam
keadaan sebegini, PM telah meminta kemasukan guru daripada Singapura bagi
membantu untuk membendung tahap kemerosotan dalam bahasa Inggeris di Malaysia.
Itu, bagi saya, adalah sesuatu yang memalukan negara. Adakah kita kini begitu kekurangan penutur bahasa Inggeris yang mahir di tanah kita sendiri sehingga kita perlu meminta mereka dari luar?
Kita bukan
sahaja telah mensia-siakan mereka yang mempunyai kelebihan bahasa Inggeris di
tempat kita sendiri sejak empat dekad yang lalu, tetapi kita juga gagal
mengoptimumkan sumber yang sedia ada.
Ramai,
termasuk beberapa pelajar saya sendiri, telah memohon untuk menjadi guru bahasa
Inggeris. Tetapi mereka ditolak.
Apabila
saya bertanya kepada mereka apa sebabnya, mereka mengangkat bahu dan berkata ia
mungkin disebabkan oleh ‘kriteria’ pemilihan lain yang wujud untuk pendidikan
guru.
Kita perlu
mempertimbangkan secara serius kesan daripada tanggapan sebegitu.
Adakah seseorang
guru yang berpotensi serta berkelayakan tinggi ditolak kerana ‘kriteria’ lain
yang wujud, selain daripada penguasaan disiplin masing-masing?
Seperti
itulah, kita kemudiannya kembali kepada persoalan yang tidak mahu dibicarakan
secara jelas oleh semua orang. Bagaimana jika saya berani untuk memberinya nama
dan memanggilnya sebagai sifat perkauman yang diinstitusikan? Apabila ia
berlaku dalam sistem pendidikan, kesan yang terhasil mempunyai kesan
serta-merta dan berterusan untuk generasi akan datang.
Ia suatu
hal yang sukar untuk ditelan. Tetapi jika Kementerian Pendidikan benar-benar
ingin membendung kemerosotan dalam tahap pendidikan, kita perlu berhadapan
dengan realiti dan kesan yang dibawa oleh dasar yang sedemikian rupa kepada
kita.
KPM juga
mungkin perlu melihat kepada ‘Napoleon kecil’ itu (jika wujud), yang nampaknya
dengan agenda perkauman mereka sendiri, bersembunyi di sebalik tampuk kuasa.
Untuk
berlaku adil, komposisi etnik penduduk di mana-mana sekolah sepatutnya bukanlah
sesuatu yang penting, asalkan guru yang dilantik adalah mereka yang terbaik
serta boleh kita serapkan ke dalam sekolah kita, tanpa mengira bangsa,
kepercayaan atau agama.
Saya telah
melihat beberapa guru yang luar biasa dari semua etnik. Kita memerlukan mereka
semua, tidak kiralah apa bangsa mereka pun. Kita hanya perlu belajar menerima
semua bangsa.
Soalnya, adakah kita meletakkan guru yang terbaik di sekolah kita?
Untuk
sudut pandang yang lebih luas, mari kita selidik apa terjadi di Singapura.
Kedua-dua Singapura dan Malaysia mempunyai titik permulaan yang sama pada tahun
1965. Hari ini, sekolah-sekolah Singapura diiktiraf sebagai sebahagian daripada
prestasi terbaik dunia, cemerlang dalam matematik, sains dan celik huruf.
Apabila
ditanya bagaimana mereka mencapai ini, jawapan
mereka adalah mudah – “kurikulum yang menyeluruh yang dihantar ke
setiap sekolah oleh guru yang berkualiti tinggi.”
“Jenis
negara yang kita mahu wujudkan bergantung kepada sekolah yang kita cipta,” kata
Dr Azly Rahman, seorang ahli akademik, pendidik dan pengarang.
Jadi, jika
sistem pendidikan kita hari ini didorong oleh perpecahan dan bukannya perpaduan
dan pembauran, maka itulah hala tuju yang telah dibawa oleh dasar kita.
Sekolah
kebangsaan kita pernah menjadi sekolah pilihan. Pada masa lalu, sekolah swasta
dianggap sebagai alternatif bagi mereka yang gagal mendapat kelayakan baik
dalam sistem persekolahan kebangsaan.
Hari ini,
bagaimanapun, sekolah kebangsaan telah berkembang secara perlahan-lahan untuk
dianggap sebagai ‘kurang baik’ – hasil daripada semua ‘niat baik’ dasar yang
terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang dimulakan pada tahun 1970-an
dan kemudiannya melalui formula polisi lain yang seterusnya.
Jalan ke
neraka sentiasa dirangka dengan niat yang baik.
Dasar-dasar
ini, termasuklah soal ‘ketuanan Melayu’, telah jauh menyimpang dari tujuan asal
mereka. Mereka kini, secara sengaja atau tidak, telah menjejaskan kualiti
sekolah dan guru kita.
Sekolah
kita adalah tempat benih di mana kita membentuk, semangat, serta ruang masa
depan negara.
Mungkin
sudah tiba masanya untuk KPM melangkaui tabir politik dan retorik ahli politik.
Kementerian perlu melihat dengan teliti setiap kisah yang ada.
Semasa
saya menjadi guru, saya terpaksa mengajar seorang guru geografi yang
berkelayakan cara menggunakan skala di dalam peta.
Saya
terpaksa menerangkan kepada guru bahasa Inggeris perbezaan antara perkataan
‘to’ sebagai preposisi dan ‘to’ sebagai bentuk infinitif kata kerja.
Saya
terpaksa membetulkan skema pemarkahan yang tempang untuk peperiksaan sekolah.
Saya mendengar aduan daripada pelajar tentang kesilapan guru mereka dalam
menanda kertas mereka.
Saya menyaksikan guru-guru yang tidak dapat mengatasi kecemerlangan akademik pelajar mereka sendiri di mana kefahaman mereka tentang sesuatu subjek itu jauh mengatasi guru mereka.
Pernah,
ketika pemeriksa lisan Bahasa Inggeris jemputan masih wujud, saya telah
dihantar bersama guru lain ke sebuah sekolah untuk mengendalikan peperiksaan
lisan Bahasa Inggeris SPM.
Seorang
calon di sekolah itu ditanya apakah rancangannya selepas peperiksaan SPM tamat.
Dia
menjawab dalam bahasa Inggeris, “I will let down my hair and paint the town
red,” katanya.
Tanpa was
was, saya memberinya markah penuh.
Walau
bagaimanapun, pasangan saya memberikan pelajar markah sifar! Apabila saya
bertanya mengapa, dia berkata bahawa jawapan calon itu tidak masuk akal
baginya!
Adakah
kita berlaku adil kepada calon dan pelajar kita apabila kita mempunyai guru dan
pemeriksa yang kurang kepakaran dalam disiplin mereka sendiri? Ini belum kira
kerumitan pedagogi serta penglibatan yang bermakna.
Sedekad
selepas saya pergi, saya membayangkan keadaan di sekolah pasti bertambah buruk.
Ramai ibu bapa kini memilih sekolah antarabangsa yang mahal atau sekolah
vernakular dan bukan sekolah kebangsaan untuk anak-anak mereka.
Sekolah
harus menjadi organisasi pembelajaran yang memberi inspirasi kepada pertumbuhan
intelek. Ia bukanlah sebuah tempat untuk guru mendidik diri tentang disiplin
mereka sendiri.
Jadi,
adakah kita patut merasa terkejut mengapa kita kini tercicir daripada kedudukan
Pisa antarabangsa untuk matematik, membaca dan sains? Adakah kita terkejut
apabila sekolah vernakular dan sekolah antarabangsa menjadi semakin popular?
Masa depan
tidak lagi menentu. Sudah tiba masanya pemimpin kita untuk menyedari bahawa
persaingan zaman ini bukan sahaja daripada orang dari etnik lain di dalam Malaysia
tetapi daripada negara jiran Asean kita, yang mungkin akan meninggalkan kita
jauh di belakang.
Walaupun
kita masih bergelumang dengan cara fikir politik kita yang berusia lima puluh
tahun berlegar sekitar politik perkauman dan identiti, terdapat ketidakpastian
yang lebih gelap yang kita menghadapi.
Sejauh
manakah kita bersedia dalam mengurus dunia digital atau hidup dalam metaverse?
Sejauh manakah kita bersedia bersama AI?
Sukeshini
Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Ogos 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO
statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions
expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's
official position.
AGENDA
RAKYAT - Lima perkara utama
1. Tegakkan
maruah serta kualiti kehidupan rakyat
2. Galakkan
pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
3. Raikan
kerencaman dan keterangkuman
4. Selamatkan
demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
5. Lawan
rasuah dan kronisme