Mengecam adalah trend dakwah hari ini?

 

RONASINA

ngapa dakwah di zaman media sosial ini, untuk mengajak orang bertaqwa kaedahnya mesti dalam bentuk kecam, sindir, dan umpat?

Ada sebuah post tular di Facebook pada hari sambutan kemerdekaan tempoh hari. Catatan dibuat oleh seseorang tentang berdosanya rakyat Malaysia beragama Islam yang sanggup berhimpun awal di padang dataran menunggu sambutan perayaan tersebut sejak malamnya lagi. Umat Islam yang datang awal ini dikatakan berdosa kerana meninggalkan solat wajib, solat sunat serta ritual ibadah lain hanya semata-mata ingin menyambut hari ulangtahun kemerdekaan tanahair yang disifatkannya cara Barat.

Akibatnya, post tersebut mendapat kecaman ramai yang menyifatkan penulisnya membuat tuduhan melulu, serkap jarang, dangkal serta gopoh dalam menilai dan menjatuhkan hukuman. Penulis bertegas menyatakan jika yang hadir itu solat maka tak perlu melenting; yang tak solat itulah yang meroyan dan perlu dikasihani. Akhirnya, penulis menjelaskan yang hasratnya adalah untuk mengajak semua manusia bertaqwa kepada Tuhan.

Bila timbul isu ini, saya memang cukup sensitif kerana suatu ketika dulu saya sering berhadapan individu dan kumpulan yang gemar menghakimi orang-orang berpenampilan ‘kutu’ seperti saya. Ia boleh jadi dari lingkungan saudara-mara serta kaum-kerabat, tak terkecuali juga dari jiran sekeliling. Mata mereka dapat dilihat sentiasa mengecil dan tajam memandang sehingga kita berasa seperti jalan bertelanjang di hadapan mereka. Kadangkala kita berasa seperti di kandang salah yang bila-bila masa sahaja akan dijatuhi hukuman oleh hakim-hakim suci ini. Seperti CCTV, gerak-geri kita setiap detik diperhatikan dengan curiga seakan seluruh tubuh kita ini diselaputi najis yang akan beri bencana kepada orang lain.

Mereka menunggu sahaja untuk menyindir dan menyeranah, yang mereka rasa itulah cara terbaik untuk menyedarkan kita.

Saya rasa rambut suami awak lebih panjang daripada rambut awak sendiri,

 kata seorang lelaki tak dikenali kepada isteri saya, di kedai dobi layan diri beberapa tahun dahulu. Apalah dosa saya kepadanya hinggakan tak sampai sepuluh minit melihat saya terus dia mampu berkata sedemikian. Dengan berani dia membandingkan hal rambut isteri saya yang dia tak nampak sebab ditutupi tudung, tetapi dijadikan senjata dia untuk membantai saya.

Biar rambut panjang asalkan jangan tangan panjang,

 jawab isteri saya yang membuatkan dia terkerenyin tak bersuara lagi. Malah ketika saya berada dekat dengannya sedikit pun dia tidak memandang saya. Apa tujuan malaon ini? Dia rasa dia lebih muliakah?

Apakah kita ada alat untuk melihat takat kemuliaan atau kehinaan bagi seseorang? Ya, ada. Ilmu penyukatnya. Itu yang dititikberatkan dalam agama iaitu menuntut ilmu. Ilmu bersekali dengan amal dan adab. Makin berilmu makin tunduk dan rasional seseorang itu. Tidak angkuh dan melulu.

Ilmu berbeza dengan maklumat. Kalkulator bukan ulama matematik, ia hanya menyimpan maklumat yang diprogram. Kadangkala kita yang banyak membaca berasakan kita sudah berilmu walhal kita hanya merekodkan maklumat di dalam otak kita sahaja dan kita keluarkan semula apabila diminta. Ilmu adalah pengetahuan yang terus menjadi sebati ke seluruh tubuh kita.

Bagi saya menuntut ilmu agama untuk menjadikan diri kita lebih baik berbanding diri kita yang semalam. Ia bukan untuk merasakan diri kita lebih mulia daripada orang lain. Jika tidak, tiada bezanya kita dengan Iblis yang berasa dia tidak perlu sujud kepada Adam kerana merasakan kejadian dia lebih mulia walhal perintah sujud itu datangnya dari Tuhan, pencipta dirinya dan juga pencipta Adam. Iblis terlupa kerana dikaburi dengan bongkak dan riak. Itulah mesej kisah Iblis enggan sujud untuk diambil iktibar. Kesombongan akan menjahanamkan kehebatan.

Hendak berdakwah, hendak mengingatkan pihak lain itu tidak salah malah ia murni tetapi eloklah ‘berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar’ (Al-‘Asr ayat 3). Berpesan-pesan maksudnya bukan bedal-membedal. Dengan kesabaran pula tu, bukan dengan gelojoh.

Tak eloklah bersangka-sangka, berperangai suka menyibuk dengan sengaja mengintip-ngintip kesalahan orang, membuka aib dan mengumpat seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Hujuraat ayat 12.

Saya biasa hadir dalam program dan acara keramaian baik program sukan begitu juga konsert. Tidak ada masalah untuk orang Islam bersolat sebab kemudahan yang disediakan ada. Di pesta buku, di kompleks beli-belah, di hentian rehat dan rawat, surau sentiasa penuh. Bagi yang biasa bersembahyang, di mana-mana pun mereka takkan lupa melaksanakannya hatta di tepi jalan raya sekalipun. Yang tak biasa bersolat, duduk dalam masjid pun tak akan mahu buat. Manakala yang solat setiap waktu di masjid pun kadangkala kita nampak betapa bengisnya muka dan betapa enggannya mereka menguntum senyuman. Tak percaya? Pergilah masjid. Kita akan jumpa orang yang kasar dan bermuka ketat walhal sujudnya lama dan doanya panjang. Salam pun tak pandang muka. Walhal solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar (Al-Ankabuut ayat 45). Kalau masih sombong dan tak melihat muslimin lain sebagai saudara macam mana?

Bukankah bacaan talkin di atas kubur kita disuruh jawab ‘semua muslimin dan muslimat adalah saudaraku’ ketika ditanya ‘siapakah saudara kamu?’. Saudara apa kalau sombong, berprasangka dan sering mengintip-ngintip kesalahan orang? Apa faedahnya bagi seseorang itu dalam usahanya menjadi alim, sibuk pula dia nak menghakimi dosa orang lain? Bukankah lebih afdhal tumpukan dahulu amalan diri sendiri kepada tuhan. Jangan sibukkan hal orang lain.

Nak berdakwah ikutlah nabi. Ada siddiqamanahtabligh, dan fatanah. Kebijaksanaan itu penting. Amat tak bijak kalau main pukul rata cakap mereka yang tak solat di perhimpunan tersebut berdosa dan ‘hancur’. Itu sangat gopoh. Tuhan kata, sekecil-kecil perbuatan baik walaupun sebesar zarah dan sekecil-kecil perbuatan jahat meskipun sebesar zarah akan diperhitungkan demi sebuah keadilan. Bukan humban semacam aja!

Silap-silap satu amalan kecil orang yang kita sindir itu membawanya ke syurga dek kerana ketulusan ketika membuatnya. Sebaliknya pula satu saja amalan buruk kita iaitu sombong macam Iblis itu membuatkan 1,000 amalan baik kita sia-sia. Bagaimana?

Tidak hairan juga bila memang ada pihak yang menyokong tulisan tersebut. Bagi mereka benda betul wajar ditegur (baca: dikecam). Baiklah! Katakanlah ada 100 orang yang terkesan dengan sindiran itu lalu insaf menjadi baik, baguslah. Tetapi bagaimana pula jika ada seseorang, iaitu pihak yang menyindir itu pula berasakan dirinya hebat dan mulia seperti Iblis yang melihat Adam hina daripadanya? Orang yang dikecam menjadi insaf, pihak yang mengecam pula berasa bangga. Tak ‘win-win situation‘ la macam ni!

Mengapa dakwah di zaman media sosial ini, untuk mengajak orang bertaqwa kaedahnya mesti dalam bentuk kecam, sindir, dan umpat? Kemudian jadi hakim yang senang-senang sahaja menghukum? Aduh! Kacau masyarakat macam ini! Tiada bijaksana (fatanah) atau tidak berkeupayaan untuk menjadi bijaksana? Jadi, syarat untuk berdakwah masih belum lengkap lagilah. Jaga diri sendiri dululah! Jangan cepat menghakimi orang dan terus menghukum.

Bukankah Allah seadil-adil hakim? (At-Tiin ayat 8)

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT