RAMALAN TUN M SEKADAR PSIKOLOGI TERBALIK


Pelbagai pihak tampil memberi reaksi apabila bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meramalkan calon calon PH daripada akan menang dalam PRK Kuala Kubu Bharu, 11 Mei depan.


Beliau adalah paling awal membuat ramalan berkenaan PRK Kuala Kubu Bharu iaitu hanya beberapa jam selepas proses penamaan calon selesai.


Bekas Perdana Menteri dua kali itu meramalkan demikian berdasarkan hakikat bahawa undi Melayu berpecah berbanding pengundi Cina yang solid kepada PH/DAP.


“Jumlah pengundi di situ lebih ramai Melayu daripada Cina tetapi Melayu berpecah. Cina bersatu.


“Jadi kemungkinan ialah DAP menang,” katanya di sebuah majlis hari raya semalam.


Walaupun ramalan Tun Mahathir itu mungkin ada benarnya, sekurang-kurangnya pada ketika ini, namun setelah tempoh kempen berjalan selama 14 hari, pelbagai kemungkinan lain boleh berlaku.


Begitu pun, seperti semua maklum, sejak terpelanting daripada jawatan Perdana Menteri pada 2020 lalu, Tun Mahathir tidak pernah lagi suka kepada PH dan DAP.


Dengan itu, ramalannya bahawa PH/DAP kemungkinan besar akan menang bukanlah petanda sokongan, gambaran keyakinan atau keinginannya mahu PH/DAP menang di Kuala Kubu Bharu.


Kalau ditanya, baik secara berdepan atau sembunyi-sembunyi, jawapan Tun Mahathir adalah pasti mahu PH/DAP yang dibantu UMNO kalah di Kuala Kubu Bharu.


Ramalan beliau itu sebenarnya sekadar “reverse psychology” atau psikologi terbalik agar pengundi Melayu segera bangkit dan keluar beramai-ramai memberi undi kepada calon PN/Bersatu.


Jangkaan beliau, pengundi Melayu tentu lebih selesai diwakili wakil rakyat Melayu berbanding bangsa lain, terutama di kawasan di mana mereka adalah pengundi majoriti.


Dengan ramalannya itu, harapannya tidak lain agar pengundi Melayu yang merupakan majoriti di Kuala Kubu Bharu tidak mensia-siakan undi mereka dan keluar beramai-ramai.


Berdasarkan hakikat pengundi Melayu agar majoriti, jika peratusan keluar mengundi mereka adalah tinggi, keadaan itu boleh menewaskan pengundi Cina yang bukan majoriti yang didakwanya solid kepada PH/DAP itu.


Harapan lain di sebalik ramalan itu ialah barangkali Tun Mahathir berharap PN akan segera mengundangnya untuk turut sama berkempen kerana dalam hatinya berasakan beliaulah pejuang Melayu tulen di negara ini.


Jika beliau diundang berkempen dan berjaya memusingkan sejumlah pengundi Melayu dan akhirnya calon PN beroleh kemenangan, bererti “hidup baliklah” nyawa politiknya selepas ini.


Yang penting bagi Tun Mahathir, melalui kemenangan PN di Kuala Kubu Bharu nanti, beliau telah berjaya mencalarkan imej PMX yang akan digambarkan tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat.


Tetapi, jika calon PH/DAP benar-benar menang pula, Tun Mahathir juga sudah sedia dengan jawapannya.


Jawapannya – saya dah kata awal-awal lagi!!


Dia tidak rugi apa-apa, cuma laba besar dapat dikutipnya jika melalui psiklogi terbalik ini calon PH/DAP berjaya dikalahkan pada 11 Mei nanti, sama tarikh dengan hari ulang tahun kelahiran UMNO. – ShahbudinHusin28April2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/28/ramalan-tun-m-sekadar-psikologi-terbalik.html



No comments: