Tanpa dapat disangkal oleh sesiapa, DAP adalah parti yang cukup kuat dan terbilang standardnya ketika ini.
Di kalangan masyarakat Cina, DAP adalah parti yang terkuat sekali sehingga mampu memenangi paling banyak kerusi Parlimen ketika ini.
Ia telah lama mengenepikan MCA dan Gerakan daripada hati sanubari kaum Cina.
Di kalangan semua parti pula, DAP adalah nombor dua di belakang Pas dari segi kemenangan kerusi Parlimen.
DAP ada 40 kerusi Parlimen, manakala Pas 43.
Tetapi, berdasarkan statistik penduduk tahun 2022 di di mana Bumiputera mencatatkan jumlah 69.4 peratus, diikuti Cina 23.2 peratus, India 6 peratus dan lain-lain kaum 0.7 peratus, prestasi DAP bermakna jauh lebih unggul berbanding Pas.
Kemampuan DAP memenangi 40 kerusi Parlimen itu bererti lebih 90 peratus orang Cina adalah menyokong mereka.
Dalam PRN baru-baru ini, DAP mencapai prestasi hampir 100 peratus di mana mereka menang 46 daripada 47 kerusi DUN yang ditandingi.
Atas prestasi dan nama besar itu, adalah disarankan agar DAP tidak menunduk untuk merayu bantuan, sokongan atau pertolongan daripada BN, UMNO dan MCA dalam PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.
Jika ada parti dalam BN yang sudah memutuskan mahu memboikot dan enggan membantu, biarkan saja.
Takkan jatuh walau sehelai bulu roma orang yang gagah perkasa dengan perbuatan pihak kecil yang hanya ada satu dua kerusi itu.
DAP bukan saja boleh berdiri sendiri mengaut undi di kalangan kaum Cina, malah dengan bantuan PH – khususnya PKR dan Amanah – sudah cukup memadai untuk menambah sokongan daripada pengundi Melayu bagi mencapai kemenangan di KKB.
Tidak perlu lagi merayu, meminta tolong atau mengharapkan BN dan UMNO membalas budi kepada jasa yang pernah dicurahkan di Pelangai sebelum ini.
Tidak perlu semua itu, lagi pun kalau terlalu mengharap bantuan UMNO di KKB, ia bukan saja memperlihatkan DAP tidak cukup kuat untuk meraih kemenangan atas keupayaan sendiri, bahkan juga menampakkan PKR dan Amanah tiada kemampuan dalam menarik sokongan pengundi Melayu.
Takkan Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution, Mohamad Sabu, Mujahid Yusof Rawa dan lain-lain tokoh Melayu dalam PH tidak cukup kuat untuk menarik pengundi Melayu?
Dalam pada itu, DAP haruslah sedar bahawa UMNO semakin ditolak oleh pengundi Melayu sendiri, berharap pertolongan mereka adalah kerja sia-sia.
Lagi pun, kalau menang pula nanti – percayalah – UMNO yang akan lebih dulu berkepak serta mendabik dada kononnya bantuan merekalah kemenangan itu diperolehi, walhal hakikatnya bukanlah sangat atas bantuan parti tersebut.
Selain itu, paling penting untuk disedari oleh DAP, UMNO hanyalah kawan sementara saja, tetapi kawan yang kekal bersama mereka adalah PKR dan Amanah.
Untuk itu, bagi memastikan kemenangan di KKB dan untuk mendapat sokongan pengundi Melayu, DAP mesti memandaatkan PKR dan Amanah sepenuhnya, di samping harus sekerap mungkin membawa pemimpin-pemimpin Melayunya sendiri yang telah berjaya untuk turun berkempen.
Tidak perlu berharap, meminta tolong atau minta budi mereka dibalas oleh sesiapa.
DAP mesti ada jati diri sendiri untuk mengekalkan kemenangan di KKB. – ShahbudinHusin 24/04/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/04/24/dap-mesti-tunjuk-jati-diri-sendiri-berhenti-minta-bantuan-sesiapa-untuk-menang-di-kkb.html