Melayu berpecah belah, hanya model Kerajaan Perpaduan akan berjaya


 

Penyatuan Melayu di bawah satu gabungan politik sebagaimana matlamat perjuangan Perikatan Nasional (PN) tidak realistik bagi politik Malaysia.



Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, selepas 2018 kaum Melayu telah terpecah ke dalam terlalu banyak parti politik dan tidak mungkin formula kerajaan 90% Melayu boleh direalisasikan.



"Kita kena sedar hari ini orang Melayu telah dipecahbelahkan oleh Tun Mahathir. Kita menjadi banyak parti.



"Hari ini kena terima hakikat kerajaan hanya boleh dibentuk dengan sebuah koalisi melibatkan semua kaum



"Tetapi bila Melayu UMNO, Bersatu dan Pas bergabung, mereka hanya membentuk 114 kerusi (kerajaan 2020 - 2022). Selepas PRU ke 15, selepas mencuri 10 orang dari UMNO Muhyiddin hanya mendapat 115 kerusi.



"Mereka tidak boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil," katanya dalam siaran langsung Facebook malam tadi.



Oleh itu, kata Lokman, model kerajaan BN didominasi Melayu tidak boleh lagi dilaksanakan. Katanya, selama 60 tahun BN berkuasa di Malaysia MIC, MCA dan Gerakan membantu menguasai sokongan kaum Cina dan India.



Sebaliknya kini, hampir 80% kaum India menyokong Pakatan Harapan (PH) dan lebih 90% Cina mengundi gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.



Gabungan yang boleh memerintah dengan baik, katanya, adalah model Kerajaan Perpaduan yang dilaksanakan hari ini.



"Kita wujudkan kerajaan kukuh jika bersama PH. Barulah kita boleh ada kerajaan kuat, diyakini pelabur. Pelabur masuk balik, kukuh nilai ringgit, menambah peluang pekerjaan, kurang kadar penganguran, kurang jenayah.



"Kalau fikir bangsa kita sahaja, tak fikir rakyat keseluruhan saya beritahu, bangsa paling ramai 70% adalah bumiputera. Kalau negara ini lingkup yang paling ramai lingkup ialah bumiputera," katanya.



Mengulas propaganda Pas, kononnya orang Melayu akan lebih mudah membuat keputusan menjauhi UMNO sekiranya parti itu terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga PRU 16, Lokman berkata, Pas tidak akan 'menyibuk' sekiranya kerjasama UMNO - PH menguntungkan mereka.



"Kalau hubungan UMNO dan PH ini menguntungkan Pas mereka tak akan sibuk beritahu kalau kita terus bersama PH orang Melayu lebih mudah buat keputusan.



"Hari ini Pas-PN takut. Mereka lagi takut kalau Najib dibebaskan kerana kalau Datuk Seri Najib bebas, peluang untuk kita lenyapkan terus Bersatu (lebih mudah)



"Bagi Pas mereka tetap akan ada sokongan di beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah, Terengganu. Cuma untuk Bersatu yang tidak ada pendirian tetap, kerjasama antara BN dan PH serta kawan kawan lain akan mendatangkan musibah kepada mereka. Sebab itu mereka guna orang khianat UMNO untuk menarik UMNO keluar Kerajaan Perpaduan.



"Mereka takut formula kerjasama BN dan PH ini, orang dapat melihat keistimewaan Melayu terjamin, Islam terjamin, bahasa Melayu terjamin. Jadi apa masalah kerjasama (BN - PN)," katanya lagi.

 

No comments: