Walaupun keputusan sebenar Lembaga Pengampunan
berkaitan Najib Razak masih belum diketahui, pelbagai pihak – di alam nyata dan
di alam maya – mula mempertikai dan menghentam kerajaan berkaitan dengannya.
Di mana-mana kita boleh mendengar mereka
mempertikaikan kelambatan kerajaan mengumumkan Lembaga Pengampunan itu.
Sebenarnya bukan keputusan Lembaga Pengampunan
itu yang menjadi persoalan, tetapi yang dipersoalkan ialah mengapa keputusannya
masih diperap daripada pengetahuan umum sehingga kini?
Sementara tugas Lembaga Pengampunan WP yang
dipengerusikan Yang Dipertuan Agong (ketika itu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah) ialah membuat keputusan dan adalah hak serta budi
bicara baginda memutuskan apa juga ketetapan berhubung permohonan pengampunan,
peranan kerajaan pula ialah memaklumkannya kepada pengetahuan umum apa yang
diputuskan itu.
Oleh kerana ia terus diperap, maka akhirnya
media Singapura yang lebih dulu memperolehi maklumat mengenai keputusan Lembaga
Pengampunan itu dan kemudian mendedahkannya.
Sama ada betul atau tidak betul apa yang
didedahkan media Singapura itu, yang nyata ini adalah petunjuk ketara kelemahan
komunikasi yang ada pada kerajaan.
Lebih-lebih lagi kalau apa yang didedahkan
media Singapura itu adalah tepat, kelemahan komunikasi kerajaan akan bertambah
parah kerana ia akan menyebabkan keputusan rasmi Lembaga Pengampunan yang
diumumkan nanti sudah tidak bernilai lagi.
Soalnya, kenapa keputusan sepenting itu kerana
melibatkan seorang bekas Perdana Menteri, mahu diperap sekian lama?
Kenapa tidak selepas tamat saja mesyuarat
Lembaga Pengampunan pada Isnin lalu, kerajaan terus saja memaklumkan
keputusannya?
Untuk apa seorang menteri berkata – tunggu
sehari dua lagi dan seorang lagi menteri pula berkata – Insya Allah minggu ini
akan diumumkan keputusan Lembaga Pengampunan itu?
Kalau sudah ada keputusan dan keputusan itu
pula telah diperakui dan diterima, nak tunggu apa lagi?
Bukankah jika keputusannya diberitahu lebih
awal, semua kekalutan yang timbul sekarang boleh dielakkan?
Apa yang harus disedari, zaman kini adalah
zaman langit terbuka dan semua benda bergerak lebih pantas berbanding zaman
akhbar bercetak kertas dahulu.
Untuk itu, apa juga keputusan yang telah
dibuat, lebih-lebih lagi dalam kes penting seperti pengampunan Najib ini, ia
mesti dihebahkan dengan segara dan tidak boleh diperap lagi.
Jika diperap, ia pasti akan bocor dan terdedah
secara tidak rasmi juga akhirnya, sekaligus memberi malu kepada fungsi
komunikasi kerajaan itu sendiri.
Ini baru soal komunikasi kecil iaitu berkaitan
keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan, bagaimana nanti komunikasi dalam isu
yang lebih besar seperti menangkis serangan pembangkang, membina naratif
berkaitan beberapa perkara utama melibatkan keputusan kerajaan, mempertahankan
Perdana Menteri dan menghadapi “perang PRU16”?
Mampukah komunikasi sedia ada menjamin Anwar
Ibrahim kekal lebih daripada sepenggal? – ShahbudinHusin 01/02/2024.