NEPOTISME- LANGKAH BIJAK NURUL BUKAN LAGI PENASIHAT KANAN EKONOMI...

 

Nurul Izzah bukan lagi penasihat kanan PM

Pelantikan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri mencetuskan kontroversi sebelum ini.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengesahkan beliau tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR berkata beliau kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Mohd Hassan Marican.

“Hassan mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat. Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini.

“Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Nurul Izzah beliau menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

“Saya berharap khidmat membantu Hassan berserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta.

“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” katanya.

Terdahulu Hassan dalam satu kenyataan berasingan, memaklumlan Nurul Izzah dijemput untuk mengetuai secara bersama sekretariat untuk menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan.

Jawatankuasa Penasihat itu dianggotai Pengerusi Sarawak Energy Bhd Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sdn Bhd Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ulung Ekonomi di Institut Asia-Eropah Universiti Malaya Rajah Rasiah; dan Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway Yeah Kim Leng.

Pembentukan jawatankuasa itu diumumkan Anwar pada 7 Feb lalu dan setiap anggotanya tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.

Pada akhir bulan lalu, Nurul Izzah mendedahkan beliau dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri berkuat kuasa 3 Jan lalu.

Anwar kemudiannya mempertahankan pelantikan itu dengan berkata, Nurul Izzah tidak dibayar gaji dan beliau layak untuk jawatan berkenaan kerana ijazahnya dalam bidang kejuruteraan, dasar awam dan sosial.

Bagaimanapun, beberapa pengkritik mempersoalkan pelantikan itu sebagai nepotisme yang pasti akan meletakkan kerajaan perpaduan dalam keadaan bertahan kerana memberi peluang kepada pembangkang untuk menyerang mereka.

No comments: