Susulan Anwar Ibrahim akhirnya dengan penuh bergaya menjejakkan kaki ke Bangunan UMNO buat pertama kali setelah 25 tahun dipecat serta dihalau daripada parti itu, ramai yang bertanya, malah mula membuat spekulasi, apa bakal terjadi selepas ini?
Rata-rata tidak percaya kedatangan Anwar itu ke Bangunan UMNO baru-baru ini semata-mata untuk mempengerusikan mesyuarat pertama Seketariat Kerajaan Perpaduan, tetapi merasakan ada maksud lebih dalam daripada itu.
Spekulasi yang berlegar bahkan sampai ke peringkat ada yang bertanya, apakah Anwar akan kembali ke pangkuan UMNO dan bakal menjadi Presiden parti itu?
Menelusuri perjalanan politik Anwar selama ini, harus diakui beliau memang seorang yang tidak pernah diam daripada berstrategi.
Ketika dalam penjara pun beliau merancang pelbagai strategi, inikan pula setelah duduk sebagai Perdana Menteri.
Secara umumnya, selain untuk mempengerusikan mesyuarat Seketariat Kerajaan Perpaduan, setujunya Anwar dengan mesyuarat itu diadakan di Bangunan UMNO bukanlah secara kebetulan atau disebabkan tiada pilihan premis yang lain.
Tetapi sebagai Perdana Menteri yang suatu ketika dahulu pernah dipecat daripada UMNO, selain untuk menunjukkan hubungan dan penerimaan parti itu terhadapnya, kesediaan Anwar merendah diri hadir ke Bangunan UMNO, disertai sekali lagi merendah diri dengan sedia sekadar menjadi makmum solat maghrib yang diimamkan Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau dengan sendirinya terlihat amat mengkagumkan.
Sebagai Perdana Menteri, jika mahu memilih untuk bersikap ego, Anwar boleh saja meminta mesyuarat Seketariat Kerajaan Perpaduan itu diadakan di Putrajaya atau di mana-mana tempat lain yang bersesuaian kerana ia adalah urusan berkaitan kerajaan.
Tambahan lagi, DAP yang barangkali masih janggal untuk memijak Pejabat UMNO turut sama hadir dalam mesyuarat itu.
Begitu juga, sebagai pemimpin gerakan Islam yang memang biasa menjadi imam solat sejak dulu lagi, tiada masalah dan tidak bersalah jika Anwar memilih unuk menjadi imam solat maghrib di Bangunan UMNO itu.
Namun, kerana jiwa besar dan sebahagian adab menghormati tuan rumah, memilih menjadi makmum adalah lambang pekerti dirinya yang terpuji.
Apa pun, kunjungan Anwar ke Bangunan UMNO buat pertama kali ini, disertai ramai ahli UMNO sendiri teruja dan mengambil kesempatan bergambar dengannya, spekulasi mengenai kehadiran beliau itu dan hubungan PKR dengan UMNO terus menjadi bualan di sana sini sampailah sekarang.
Tambahan lagi, berdasarkan situasi pasca PRU15 lalu, PKR dan UMNO sebenarnya bukan saja saling memerlukan untuk menubuhkan kerajaan, malah juga untuk masa depan kedua-dua parti itu.
Berdasarkan keputusan PRU15 lalu, PKR dan Anwar dilihat amat memerlukan UMNO untuk menjamin Presiden PKR itu kekal lebih lama sebagai Perdana Menteri, manakala UMNO pula memerlukan PKR dan PH untuk berkongsi sokongan bukan Melayu dan agar terus berada dalam kerajaan di sebalik sokongan Melayu makin merosot yang diterimanya.
Untuk itu, pilihan untuk Anwar menjadi Presiden UMNO selepas ini adalah pertimbangan yang rasional, matang serta sihat demi masa depan kedua-dua parti ke arah kestabilan negara yang menyeluruh.
Pun begitu, untuk menjadi Presiden UMNO, Anwar mestilah terlebih dahulu kena membawa PKR bergabung dengan UMNO sebagai sebuah parti yang lebih besar.
Oleh kerana PKR sebuah parti berbilang kaum dan UMNO berteraskan Melayu, penggabungan kedua-dua parti itu memerlukan UMNO dijenamakan daripada United Malays Nasional Organisation kepada United Malaysians Nasional Organisation.
Walaupun UMNO berteraskan Melayu tetapi menukarnya kepada pelbagai kaum tidak sepatutnya menjadi masalah kerana selepas penggabungan dengan PKR itu masih meletakkan pemimpin Melayu sebagai dominan dan peneraju utama dalam kepimpinannya.
Ia tiada beza seperti mana UMNO sejak sekian lama telah memasarkan BN yang pelbagai kaum kepada pengundi ketika PRU yang melambangkan ia adalah parti yang tidak lari daripada jiwa Malaysia yang berbagai kaum serta agama.
Mustahaknya, bunyi dan sebutannya tetap UMNO.
Malah dengan tiga kaum utama berada dalam sebuah parti bernama UMNO yang diberi jenama baru itu lebih melambangkan keikhlasan sejati dalam merukunkan hubungan kaum di negara ini berbanding amalan dalam BN selama ini.
Yang penting, apabila PKR dan UMNO bergabung dengan Anwar sebagai Presiden dan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Presiden, parti itu bukan saja bertambah besar dan kukuh untuk mendepani cabaran masa depan, bahkan kembali menerajui kerajaan bersekali dengan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara sendirinya juga menjadi milik parti itu sebagaimana tradisinya sejak merdeka lagi.
Tidakkah ia suatu kebanggaan buat UMNO?
Terciptanya sejarah bila mana Anwar menjejakkan kaki ke pejabat UMNO baru-baru ini setelah 25 tahun berlalu barangkali suatu permulaan kepada terbukanya satu lagi sejarah baru buat parti itu. – ShahbudinHusin 11/02/2023.