Tun Mahathir Mohamad semalam mendakwa, ramai orang masih mahukannya kembali sebagai Perdana Menteri dan menerajui negara.
Bagaimanapun, tambahnya, beliau belum membuat sebarang keputusan lagi mengenainya.
“Saya tak bersedia tapi banyak orang suruh, jadi waktu ini saya tak buat keputusan apa-apa.
“Saya tak tolak, saya tak terima,” katanya.
Tidak kira berapa sedikit sekali pun yang mahu beliau kembali sebagai Perdana Menteri sebagaimana dakwaannya itu, Tun Mahathir tidak harus menolaknya kali ini.
Beliau mesti menerima dan bersedia untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi, biar pun ini merupakan kali yang ketiga dan sesetengah orang mungkin mempersenda – takde orang lain lagi ke, asyik-asyik dia saja nak jadi Perdana Menteri!
Tun Mahathir mesti gigih mempersetankan semua persendaan itu kerana walaupun dulu ada orang beri nasihat, kita mesti berhenti makan sebelum kenyang, tetapi selagi masih ada rasa lapar, teruskanlah melahap makanan selagi nafsu makan masih ada.
Kalau makanan adalah rezeki, jawatan Perdana Menteri lebih lagi merupakan rezeki, bahkan ramai orang boleh menumpang makan daripadanya.
Maka, boleh jatuh berdosa kalau menolak permintaan untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi.
Lagi pula, persaingan untuk menjadi Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang ini adalah paling meriah dan lebih meriah daripada PRU-PRU sebelum ini.
Dalam hal ini, takkan Tun Mahathir mahu jadi penonton dan bertepuk di luar gelanggang saja?
Tambah-tambah lagi, baik Perdana Menteri sedia ada, Ismail Sabri Yaakob atau calon-calon pencabarnya iaitu Anwar Ibrahim dan Mahiaddin Md Yasin, semuanya dianggap tidak layak dan bukan pemimpin yang baik di mata Tun Mahathir sendiri.
Lalu, Tun Mahathir mestilah sedia mencalonkan diri sekali lagi, lantaran hanya Tun Mahathir sajalah Perdana Menteri yang paling sesuai dan memenuhi semua citarasa yang dikehendaki oleh Tun Mahathir sendiri.
Tetapi, sebelum itu, Tun Mahathir kenalah pastikan mampu menang terlebih dahulu di kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya pada PRU14 lalu atas tiket PH dan menggunakan simbol PKR.
Kalau tak menang di Langkawi dan GTA pun tak mampu menang walau satu kerusi Parlimen yang lain, itu nanti sudah jadi kekalahan yang berganda namanya.
Kekalahan berganda, walaupun pahit untuk diterima, ia barangkali baik untuk Tun Mahathir lalui dalam menutup sejarah perjalanan politiknya yang panjang yang tak reti-reti mahu jadi orang pencen.
Sebab itu, Tun Mahathir mesti setuju mencalonkan dirinya sekali lagi sebagai Perdana Menteri supaya sejarah sendiri akan memencenkannya dengan titik yang dinamakan kekalahan. – ShahbudinHusin 17/09/2022.