Perpaduan Asas Utama Kekuatan Rakyat Malaysia
ULASAN: 16 September, merupakan hari bersejarah bagi rakyat Malaysia. Semenjak 1963, kita telah melalui 59 tahun sebagai satu negara persekutuan, hasil daripada penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 (Singapura telah meninggalkan gabungan ini pada 1965)
Perjalanan kita sebagai satu keluarga telah melalui era yang cukup dinamik. Malaysia mengharungi pelbagai cabaran untuk membentuk masyarakat muhibah yang mampu bertoleransi antara satu sama lain. Dari sebuah negara pertanian, kita bergerak ke arah perindustrian dan berpendapatan tinggi. Ini tidak mungkin dapat dilakukan tanpa perpaduan nasional yang dipandu oleh rakyat Malaysia sendiri.
Taktik pecah dan perintah
Untuk kita menjadi sebuah negara berteraskan perpaduan nasional, kita tidak boleh mengabaikan sejarah apa yang menjadikan Malaysia, sebagai Malaysia yang kita idamkan. Melihat Kembali buku teks sejarah sekolah, saya masih ingat bagaimana penjajah British menggunakan taktik ‘pecah dan perintah’ untuk mengekalkan penguasaan mereka di tanah jajahan, termasuk Tanah Melayu dan Borneo. Kewujudan sosial ekonomi yang terbahagi kepada ethnik bangsa memudahkan kerajan Inggeris untuk mengawal dan menafikan negara daripada menjadi bersatu padu.
Mungkin kita menyalahkan penjajah pada masa itu dan pergerakan sivil serta nationalisme berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Sememangnya pada 1957 bendera Union Jack diturunkan dan 1963 kita mendapat identiti kenegaraan sendiri.
Malaysia diperintah oleh kerajaan parti tunggal sehingga 2018, apabila regim Barisan Nasional ditumpaskan buat pertama kali di dalam sejarah. Walaupun penjajah Inggeris tidak lagi memerintah, namun yang bertukar hanya pemerintah, tetapi taktik memecah belah masih lagi dipergunakan.
Kerajaan yang berteraskan etnik, seperti Umno, MCA dan MIC mempunyai peranan terhadap masyarakat masing-masing. Sehingga hari ini, parti-parti politik yang baru seperti Bersatu dan Pejuang juga menggunakan modus operandi yang sama, iaitu propaganda ketuanan bangsa untuk memastikan mereka ‘tidak akan hilang di dunia ini’.
Kita sering mendengar mereka di atas jalanan yang merungut betapa mengecewakan dalam politik, dan mengungkit kembali kegagalan kita dalam Pilihan Raya Negeri lepas. Sesungguhnya mereka tidak memikirkan bahawa dengan adanya pergerakan politik yang waras, banyak perubahan boleh berlaku yang membawa transformasi demokrasi dan mendukung agenda reformasi. Antara perubahan ketara baru-baru ini adalah seperti pengiktirafan akta lompat parti dan pemenjaraan bekas Perdana Menteri, dan kredit harus diberi kepada rakyat yang berani tampil untuk menuntut keadilan.
PH terapkan agenda reformasi
Pergerakan reformasi adalah pemangkin perubahan dan membuahkan hasil pada tahun 2018, di mana KEADILAN menjadi perintis Pakatan Harapan yang telah memenangi PRU yang penuh bersejarah. Agenda reformasi disemaikan dalam pentadbiran negara terus menghakis politik kebencian yang diwaris dari regim terdahulu walaupun hanya 22 bulan menjadi kerajaan.
Ini hanyalah satu permulaan. Malaysia telah sampai ke satu simpang dan harus memilih. Ke kiri ke arah idelogi berpandukan kesaksamaan sosio-ekonomik atau ke kanan memantapkan politik konservatif seperti sedia kala. Hanya dengan pegangan ideologi kesaksamaan untuk semua, negara mampu menjana daya saing yang boleh bergerak ke arah yang lebih progresif.
Segala bentuk kejayaan negara tidak dapat dibayangkan tanpa ada masyarakat majmuk Malaysia yang bertolak ansur. Ingatilah kata-kata Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Malaysia yang berbunyi “Kita semua rakyat Malaysia. Ini adalah satu ikatan yang sentiasa menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara”
Kita wajar bersedia, kerana Pilihan Raya Umum ke 15 bakal tiba. KEADILAN dan Pakatan Harapan wajar diberi peluang sekali lagi untuk memerintah.
Selamat ulang tahun ke 59 dan Selamat Hari Malaysia kepada semua.
_______________________________________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju