Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri
Shahrir Samad memberi sindiran pedas berhubung isu rombongan beberapa pemimpin
UMNO yang mengikut rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke
New York.
Bekas
Ahli Parlimen Johor Bahru itu memuat naik hantaran menyindir kepada rombongan
yang bersama Ismail Sabri ke Amerika Syarikat, serta pada masa sama laporan
sebuah portal Malaysiakini menamakan beberapa pemimpin utama UMNO yang bersama
mengikuti rombongan tersebut.
“Takkan
mesyuarat War Room UMNO Malaysia diadakan di New York sempena UNGA (Perhimpunan
Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77).
“Tak
betullah berita di medsos (media sosial) kononnya Naib Presiden kita, Datuk
Seri Khaled Nordin dan SUA (Setiausaha Agung UMNO), Datuk Seri Ahmad Maslan,
pergi ke New York.
“Tahniah kerana meletakkan
kerja parti di atas syiok sendiri berada di New York,” katanya dalam hantaran
di Facebook.
Khaled
dan Ahmad sebelum ini dikatakan mengikut Ismail Sabri ke Amerika Syarikat,
bagaimanapun dalam hantaran dimuat naik Shahrir menunjukkan kedua-dua mereka
menghadiri mesyuarat ‘war room’ di PWTC semalam.
Terdahulu,
Malaysiakini menamakan lapan pemimpin UMNO yang mengikut Ismail Sabri,
antaranya Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Exco
Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Datuk Seri
Ab Rauf Yusof; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, bekas Menteri
Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai,
Datuk Jefridin Atan; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin; Ahli
Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah,
Datuk Othman Aziz.
Keberadaan
para pemimpin Umno itu di bandar raya New York diketahui umum apabila mereka
sendiri menguar-uarkannya melalui hantaran di media sosial. Antara pemimpin
yang memuat naik gambar masing-masing di Facebook ialah Wan Rosdy, Ab Rauf, dan
Jefridin.
Penyertaan
pemimpin UMNO dalam rombongan Ismail Sabri itu mengundang spekulasi kerana ia
berlaku ketika pemimpin utama parti berkenaan mendesak Ismail Sabri supaya
segera mengadakan pilihan raya umum (PRU).
Ismail
Sabri berada di New York bagi menyampaikan ucaptama di PBB yang berlangsung
semala.