Persediaan bagi menghadapi
musim banjir yang akan dijangka melanda negara pada hujung tahun lebih penting
daripada mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Perikatan
Nasional (PN) berkata Jemaah Menteri dalam gabungan itu menolak gesaan PRU-15
diadakan semasa musim tengkujuh seperti yang didesak oleh Presiden UMNO, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia meredah banjir untuk berkempen seperti
dalam ucapannya sebelum ini.
Menurut
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, pendirian itu dinyatakan
Menteri PN semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu dan mengakui barisan menteri
juga mempunyai perbezaan pendapat mengenai tarikh PRU-15.
“Menteri
Kabinet PN menentang pelaksanaan (PRU15 ketika musim tengkujuh) dan percaya
bahawa kita harus bertindak membantu rakyat untuk menghadapi risiko banjir. Ini
membuktikan bahawa PN adalah sebuah gabungan yang prihatin.
“Bagi GERAKAN, kami menolak
sekeras-kerasnya langkah mengadakan PRU-15 pada akhir tahun ini (ramalan negara
dilanda banjir) kerana keselamatan rakyat sewaktu musim tengkujuh perlu
diutamakan
“PRU-15
boleh diadakan selewat-lewatnya menjelang September tahun depan. Jadi tidak
perlu tergesa-gesa untuk mengadakan PRU pada penghujung tahun ini dan berdepan
risiko banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya,
langkah mengadakan PRU-15 pada musim tengkujuh hanya mementingkan kepentingan
diri tanpa mengira keselamatan rakyat, sedangkan Jabatan Meteorologi Malaysia
sudah meramalkan negara bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai November.
“Hujan
lebat berterusan akan membawa banjir ke beberapa negeri di Pantai Timur. Lebih
10 juta daripada 33 juta penduduk di negara kita, khususnya di Pantai Timur
akan terjejas banjir, jadi tidak wajar mengadakan PRU semasa musim tengkujuh,”
katanya.
Jika
PRU pada musim berkenaan, katanya, kemudahan seperti sekolah dan dewan orang
ramai digunakan sebagai pusat pengundian, sekali gus menjejaskan operasi
bantuan kepada penduduk terjejas banjir.
“Jika
tempat itu digunakan sebagai pusat pengundian, mangsa banjir nak letak di
mana?” katanya menambah, kos juga akan meningkat kerana beberapa negeri tidak
akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing jika PRU15 diadakan
pada musim tengkujuh.
“Kelantan,
Terengganu dan Kedah yang ditadbir PAS serta Selangor, Negeri Sembilan dan
Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan (PH) sudah memaklumkan tidak akan bubar
DUN, bermaksud negeri-negeri ini akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada
tahun depan.
“Kalau
negara kita mengadakan PRU dan PRN secara berasingan, perbelanjaan akan menjadi
tinggi, jadi lebih baik buat PRU15 pada tahun depan,” katanya.
Selain
faktor banjir, Dominic berkata, kerajaan boleh memanfaatkan tempoh yang ada
sebelum penggal Parlimen kali ini berakhir untuk memberi tumpuan kepada ekonomi
dan memastikan pemulihannya.
“Usaha
tingkatkan pendapatan rakyat dan ringankan beban hidup mereka. Apatah lagi,
jumlah golongan berpendapatan rendah juga telah meningkat, ramai daripada
kelompok B40 sebelum ini sudah jatuh ke dalam B60 selepas dua tahun COVID-19
melanda negara kita,” katanya.