Jika ada desakan, Mahathir sedia jadi PM buat kali ketiga
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau bersedia untuk kembali dilantik menjadi perdana menteri bagi kali ketiga sekiranya terus menerima desakan dan jika tiada calon lain yang sesuai.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya mahu memainkan peranan sebagai penasihat, namun jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.
“Kalau nak fikir tentang kedudukan saya, saya lebih suka kalau boleh berehat, walaupun berehat saya akan memainkan peranan sebagai pakar rujukan, atau memberi nasihat, itu boleh kita buat.
“Tetapi kalau desakan demi desakan datang, saya nak fikir tentang diri sendiri pun susah, jadi kalau desakan datang dan tiada calon lain, saya terimalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ‘Hard Talk with Dr Mahathir’ di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.
Mahathir yang juga pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) bagaimanapun berkata, jika beliau kembali menjadi perdana menteri, ia mungkin untuk tempoh setahun saja.
Beliau juga tidak mahu orang menganggap usahanya menubuhkan parti Pejuang dan GTA semata-mata untuk kembali menjadi perdana menteri.
“Tak bolehlah sampai lima tahun (jadi perdana menteri), mungkin satu tahun saja, tapi kalau orang nak, pasal saya tak nak orang anggap saya tubuh Pejuang, tubuh GTA untuk saya jadi perdana menteri kali ketiga, itu bukan niat saya.
“Saya cuma nak tentukan dasar-dasar yang menolong orang Melayu dapat dilaksanakan oleh kerajaan yg prihatin, yang sayang kepada bangsa, negara dan agama,” katanya.
Sementara itu, Mahathir berkata, penentuan calon GTA pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang akan dinilai berdasarkan kelayakan masing-masing.
Katanya, kelayakan itu penting bagi memastikan mereka yang dipilih mampu menjalankan tugas dengan baik.
“Dulu waktu dalam Umno saya pernah cadangankan supaya hanya mereka yang ada kelulusan dipilih sebagai calon tapi ramai orang marah, sebab yang tak ada pelajaran pun nak jadi calon.
“Inilah masalahnya, jika mereka yang tiada kelulusan, bagaimana nak mentadbir negara? Sebab itu kerajaan lemah, tidak dapat mengharungi waktu kritikal dengan baik,” katanya.