KOS HAJI USAH DIPOLITIKKAN LIHAT SECARA OBJEKTIF



1. Kos haji Muassasah terakhir pada tahun 2019 yang ditanggung oleh Jamaah Haji Malaysia ialah RM 9,980. Kos sebenar Haji adalah lebih kurang RM 22 ribu. TH melalui dasar Subsidi Haji atau Bantuan Haji menanggung baki kos iaitu RM 12 ribu bagi setiap individu jamaah. Keseluruhan subsidi haji dari TH melibatkan kos hampir RM 380 juta setahun dibiyai sepenuhnya oleh kewangan TH.

2. Perlu dijelaskan kos subsidi haji telah diperkenalkan sejak 2009 dan tidak pernah dibuat penilaian semula walaupun kenaikan kos sebenar haji telah meningkat setiap tahun dari RM 12 ribu tahun 2009 kepada RM 22 ribu tahun 2019. Walaupun sepanjang 10 tahun peningkatan kos haji berterusan namu para Jamaah Muassasah kekal membayar RM 9,980 sejak 2009 hingga kini.

3. Beban peningkatan kos haji adalah kerana faktor yang diluar kawalan TH seperti peningkatan kos bahan api, cukai dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dll faktor. Dari tahun 2019-2020 TH telah membuat kajian menyeluruh sebagai sebahagian dari usaha kelestarian kewangan TH pasca Penstrukturan Semula. Oleh kerana itu kos Haji perlu dilihat secara objektif dan profesional bagi kelestarian operasi TH demi memelihara kepercayaan para pendeposit dan bakal para Jamaah Haji.

4. Pengumuman kos haji yang meningkat kepada RM 30 ribu dan kebimbangan yang diumumkan oleh Menteri Agama hari ini perlu dijelaskan termasuk kesan kos kepada para Jamaah. Ini masanya untuk Menteri Agama bersikap telus dengan menilai semua perincian kos secara penjimatan maksimum bagi kurangkan bebanan kepada para Jamaah dan pada waktu yang sama mengimbangi tekanan kewangan kepada TH.

5. Kami mensarankan supaya dasar subsidi haji disesuaikan dengan keadaan semasa setelah 10 tahun dilaksanakan tanpa penilaian semula. Subsidi Haji perlu diteruskan kepada mereka yang layak sahaja dan tidak ditawarkan secara umum. Dengan kata lain gunakan kaedah subsidi bersasar tanpa perlu dihapuskan subsidi haji secara total. Mekanisma yang sesuai perlu dirungkaikan secara telus untuk pengetahuan bakal Jamaah. Bersesuaian dengan realiti pasca pandemik, tiba masanya dibuat penstrukturan semula secara seimbang iaitu dengan tidak membebankan para Jamaah yang layak terima bantuan tetapi pada waktu yang sama mengawal bebanan kos subsidi haji yang ditanggung TH. Kami juga menyeru supaya isu ini tidak dipolitikkan sehingga menjejaskan keperluan meneliti kenaikan kos ini secara objektif dan saksama.

Sekian

YB DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden Parti AMANAH

Ahli Parlimen Parit Buntar

Pengerusi PH Perak

Pengerusi Inisiatif Melayu Bermaruah (IMB)

23 Sept 2022