Abang, susu anak kita dah habis"
"Oh yeke? Jap saya tengok ada duit tak"
Saya buka dompet. Allahu. Ada seringgit dua je.
Masa tu, saya dan isteri tinggal di Kedah. Kami baru ada seorang anak. Kakak sulung ifa inilah.
"Macamana ek? Allah.."
Kami berdua diam. Tak tahu nak cakap apa. Anak terus menangis. Tak mahu diam.
Tanpa sedar, tiba-tiba mata kami berdua basah dengan airmata. Hati remuk dengan ujian-ujian hidup yang nak ditempuh. Sudahlah saya dan isteri seharian lapar, belum makan lagi.
Isteri pegang tangan saya.
"Jom kita bawa dia jalan-jalan. Nanti dia penat dia tidurlah"
Saya dukung anak. Kami berjalan-jalan di Pekan Jitra tanpa arah. Anak masih menangis tapi tak kuat dah. Isteri setia disisi.
Sedang jalan, nampak pasaraya besar. Keluar masuk orang beli baju. Beli barang rumah.
Lalu depan kedai makan, nampak sekeluarga gembira menjamah jamuan makan malam mereka.
Allah. Allah. Berat perasaan ni. Berat sangat. Nak berlari balik dan duduk saja dalam bilik.
Bila penat, kami duduk dan rehat.
Isteri menyandarkan kepalanya ke bahu. Dia bagitahu sesuatu. Yang sampai hari ini, kalau saya down, saya selalu ingatkan itu.
"Abang, kita kahwin sebab Allah kan? Sebab Allah kan?"
Tiba-tiba, ada panggilan masuk.
"Amat, kat mana? Ni umi ayah baru sampai Kedah. Tiba teringat kat anak umi ni"
"Oh. Kami di Pekan Jitra"
"Takpa. Umi ayah ke sana ambil amat dan siti"
Mak ayah datang ambil kami. Ayah hulur RM300. Ayah ajak ke pasaraya. Beli barang keperluan. Saya ambil susu dengan penuh syukur.
Kalian,
Asa paling hujung, asa yang dipegang terus pada Tuhan setiap masa.
Dan, itulah hikmah berumahtangga.
Allah yang pertama.
Allah juga yang terakhir.
Jalanilah satu-satu kesakitan dan kepahitan dalam membina bahagia kita.
Percayalah pada rezeki yang sedang ditakdirkan.
Jangan terputus tali dengan Allah lagi.
Kuat dan hidupnya jiwa suami isteri itu, adalah dari rahmat Allah yang memberi.
Hari ini, kami bangun dan berdiri bersaksikan banyaknya nikmat ilahi,
Dari belasan tahun tidur berairmata menahan saktnya hidup ini.
Terima kasih Allah.🤲
Via: Abu Hurairah Roslan