Orang India jangan terpesona ‘berita baik’ menjelang PRU
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 hampir pasti Kerajaan BN akan mengumumkan banyak ‘berita baik’ buat masyarakat India.
Bagi Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai, hal itu boleh diperiksa berdasarkan pengumuman penting kepada masyarakat India sejak beberapa PRU lalu.
Oleh itu katanya, masyarakat India, khususnya di Cabang Wangsa Maju tidak perlu terpedaya dengan propaganda BN sekali lagi
“Selak balik berita pada saat-saat sebelum pembubaran parlimen (PRU 2018, 2013, 2008), pasti terdapat berita ‘gembira’ kepada masyarakat India.
“Janji yang dikitar semula bukan baru, namun tidak ditunaikan,” katanya usai lawatan ke upacara sembahyang di Kuil Om Sri Veera Muniswarar Raja Kaliamman Alayam, Kuala Lumpur.
Andre merujuk pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini yang mana kerajaan meluluskan pelbagai inisiatif untuk membasmi kemiskinan, pembangunan sosial dan kesejahteraan kaum India.
Antaranya program peningkatan kemahiran kepada usahawan kecil India melalui Kementerian Sumber Manusia. Begitu juga MITRA yang terpalit dalam kontroversi telah dijanjikan nafas baru dan juga program berskala kecil seperti penambahan peruntukan SJKT dan AIMST (Program Mobiliti Antarabangsa Asia untuk pelajar) dalam membantu pelajar-pelajar India.
Namun kata Andre, seharusnya peringatan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan titik perubahan, iaitu masyarakat India perlukan pendekatan baharu termasuk memperbaiki kualiti pendidikan.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju berkata, pengundi Wangsa Maju dan rakyat Malaysia amnya harus menolak BN atau PN yang bukan sahaja bercakap kosong malah mengitar semula janji-janji mereka tanpa rasa bersalah terhadap janji yang tidak ditunaikan.
“Saya berharap penduduk Wangsa Maju dan rakyat Malaysia akan menolak parti yang hanya ‘sembang kencang’ setiap kali menjelang pilihan raya dan ‘kitar semula’ janji mereka.
“Mereka ini seolah oleh tidak rasa kesal terhadap kegagalan menunaikan janji yang dilafazkan dalam pilihan raya sebelumnya,” sinis Andre.