Isu judi yang kini timbul semula berikutan
jawapan Kementerian Kewangan kepada soalan yang ditanyakan Ahli Parlimen Pokok
Sena, Mahfuz Omar di Dewan Rakyat nampaknya benar-benar membuatkan Pas berpeluh
dibuatnya.
Dalam soalannya lisan itu Mahfuz bertanya
kepada Menteri Kewangan, berapakah jumlah cabutan khas yang dibenarkan kerajaan
bagi tahun 2021 kepada syarikat-syarikat judi dan jawapan yang diberi ialah
sebanyak 22 kali.
Jawapan itu bermakna, termasuk cabutan biasa
yang mungkin tiga atau empat kali semingu, di tambah dengan 22 kali cabutan
khas setahun, jumlah kekerapan untuk pemabuk-pemabuk judi mencuba nasib bagi
jadi kaya dalam setahun hampir mencecah 200 kali banyaknya.
Wowww… dengan setahun ada 365 hari dan
disediakan hampir 200 kali untuk perjuangan bagi kaki-kaki judi memeriahkan
kehidupan mereka, apakah layak kerajaan yang ada ini dinamakan kerajaan Melayu
Islam?
Mahu tidak mahu, dengan jawapan Menteri
Kewangan dan jumlah cabutan khas judi yang kerap itu, Pas yang konon
memperjuangkan Islam dan berada dalam kerajaan inilah yang paling terkesan
sekali.
Lalu, apa sebenarnya peranan Pas dari segi
memperjuangkan Islam dalam kerajaan Melayu Islam ini?
Tambahan lagi, jumlah kekerapan cabutan khas
22 kali setahun itu adalah tinggalan era BN yang kemudian dikurangkan kepada 11
kali pada 2019, seterusnya 8 kali pada 2020 iaitu ketika negara diambil alih
oleh PH.
Fakta yang membingungkan di sini, kenapa kerajaan
Melayu Islam sekarang kembali kepada tinggalan era BN dan tidak mencontohi
amalan PH yang mengurangkannya, walau dituduh PH bukan kerajaan yang
memperjuangkan Islam?
Kerajaan mana dan parti mana yang tidak
Islamik sebenarnya?
Walaupun pada peringkat awalnya ada pemimpin
Pas yang cuba berhujah bahawa keputusan itu bukan dibuat oleh Pas, Pas tidak
berkuasa penuh dalam kerajaan, judi hanya untuk bukan Islam dan pelbagai
jawapan lain yang senada dengannya, tetapi dengan kecaman berterusan daripada rakyat,
Pas akhirnya tunduk juga.
Ia kemudian menyebabkan ada pemimpin Pas lain
yang secara terbuka membuat bantahan kepada kerajaan, bertegas mahu Kementerian
Kewangan menarik balik kelulusan tersebut serta menyifatkan ianya tidak wajar
dilaksanakan.
Nik Abduh Nik Aziz, Ahli Parlimen Bachok
malah berkata, kerajaan sepatutnya hanya mengekalkan cabutan khas 8 kali
setahun sebagaimana dilakukan PH sebelum ini dan bukan berundur ke belakang
dengan meningkatkannya semula kepada 22 kali.
Bagi yang biasa mendengar ceramah-ceramah
pemimpin Pas sejak sekian lama pasti menyedari isu judi adalah isu yang sering
dimainkan mereka untuk menyerang serta memperlekeh kerajaan.
Meski judi adalah difahami untuk orang bukan
Islam, tetapi Pas bertegas ingin mengharamkannya, bahkan dalam sebuah khutbah,
Hadi Awang pernah berkata, “mereka yang melakukan amalan judi, menggalakkan
judi dan membenarkan judi adalah mereka yang menentang Allah, bermusuh dengan
Allah dan bermusuh dengan Islam.”
Video Hadi Awang itu boleh ditonton di bawah
ini:
Jika setelah berada dalam kerajaan sekarang
Pas sedar bahawa judi hanya untuk orang bukan Islam, kenapa sebelum ini mereka
menentang dan ingin menghapuskannya?
Kalau Pas berhujah bukan mereka yang membuat
keputusan berkaitan judi dan Pas tidak berkuasa penuh dalam kerajaan, lalu
tidak berupaya untuk menghapus atau mengurangkan judi, bagaimana dengan
kebersamaan mereka dalam kerajaan yang jelas menggalak dan membenarkan aktiviti
judi?
Apakah golongan itu masih merupakan golongan
yang menentang Allah, bermusuh dengan Allah dan bermusuh dengan Islam?
Maka, apa sebetulnya kuasa Pas dalam kerajaan
Melayu Islam ini, kalau pun tidak mampu menghapuskan sama sekali judi, tetapi
setidak-tidaknya berupaya mengurangkannya?
Kiranya Pas benar-benar memperjuangkan Islam,
tidak menentang Allah, tidak mahu bermusuh dengan Allah dan tidak mahu bermusuh
dengan Islam sebagaimana itulah tarbiah yang diterapkan selama ini, itu pun
kalau mereka tidak berubah kepada lebih sayangkan jawatan atau kedudukan dunia
melebihi segala-galanya, langkah yang boleh dan patut diambil oleh parti itu
ialah mengugut untuk menarik sokongan atau keluar daripada kerajaan melainkan
tuntutan mereka, setidak-tidaknya untuk mengurangkan judi dapat dipenuhi.
Tetapi, kenapa Pas tidak melakukannya dan
kenapa juga pemimpin-pemimpin utamanya yang berjawatan menteri atau bertaraf
menteri senyap begitu saja dalam isu judi ini, sebaliknya yang timbul bersuara
hanya pemimpin di lapisan kedua dan ketiga?
Hmmm… sayang Allah atau sayangkan jawatan
dunia? (ShahbudinHusin 24/09/2021)