Menjadi seorang yang amanah ni pilihan atau pun kewajipan?

 

NIK HASYUDEEN


Menjadi seorang yang amanah ni pilihan atau pun kewajipan?

Semalam ada orang yang bertanya kepada saya bagaimana kita boleh mempertahankan perkara yang betul di dalam keadaan ada tekanan? Dia bagi contoh kawan-kawannya yang terpaksa melakukan perkara-perkara yang mereka tahu batil tetapi terpaksa kerana ianya melibatkan mata pencarian mereka.

Ada dua tiga perkara yang saya sebut bagi memberi respon kepada soalan ini.

1. Apabila kita mahukan sesuatu kedudukan, di situlah kita sudah tewas. Kita akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan diri di atas kedudukan berkenaan termasuk perkara-perkara yang tidak betul.

2. Menjadi seorang jujur dan amanah adalah kehendak agama, ianya bukan satu pilihan hidup. Lawan amanah ialah zalim. Zalim termasuk meluluskan projek yang salah, membayar kos yang melebihi yang sepatutnya, menaikkan pangkat orang yang tidak layak dan macam-macam lagi yang akhirnya akan merosakkan organisasi dan masyarakat.

3. Apabila kita nak menjadi jujur dan amanah, kita kena juga susun kehidupan kita agar kita tidak memerlukan harta dan kebendaan yang banyak untuk hidup selesa. Jika kos hidup kita tinggi, kita akan menerima tekanan. Lalu kita mencari peluang-peluang yang tidak betul dan merasionalisasikan kebatilan itu supaya kita boleh melakukannya.

Rasionalisasi ini adalah instrumen iblis ketika meyakinkan Nabi Adam supaya memakan buah yang terlarang di dalam syurga. Kita semua tahu apa yang terjadi selepas itu.

Salahguna kedudukan dan kuasa boleh dirasionalisasikan di kalangan orang-orang yang berjuang di atas dasar agama dan bangsa. Mula-mula mereka yakinkan diri mereka akan kesucian perjuangan mereka. Kemudian mereka sifatkan perjuangan mereka sebagai peperangan. Peperangan adalah darurat dan boleh menghalalkan banyak perkara. Jadi, apabila mereka mencari dana bagi membiayai peperangan, banyak perkara yang haram kepada orang awam sudah halal bagi yang sedang berperang.

Jadi salahguana kuasa atau meminta sumbangan dari orang-orang yang berurusan dengan mereka di atas jawatan dan kedudukan rasmi mereka dah jadi okay dan biasa-biasa bila dirasionalkan “perjuangan sebagai peperangan”. Ini semua sudah dibuktikan berlaku sekurang-kurangnya melalui banyak kes-kes mahkamah. Didapati bersalah atau tidak tu hal lain. Kalau tak terdakwa pun tak semestinya tak buat. Janganlah tepuk dada dan mendakwa mereka suci sangat bila belum ada yang didakwa Description: 🤗.

Berbalik kepada soalan tadi, saya yakin jika kita ingat bahawa kezaliman adalah satu perkara yang amat dibenci oleh Allah SWT, kita akan cuba sedaya upaya untuk menjadi jujur dan amanah di dalam menjalankan urusan kita. Ini melibatkan keimanan. Jika kita masih ragu-ragu kerana berlaku jujur mungkin akan menyebabkan kita tidak popular atau kehilangan kedudukan, tu adalah tanda-tanda kita memerlukan pertolongan.

Lama mana kita nak menikmati kehidupan di dunia ini berbanding dengan balasan berpanjangan di akhirat?