Anwar dedah apa berlaku di sebalik Langkah Le Meridien
Krisis dalaman Umno telah mendedahkan kewujudan Akuan Berkanun (SD) yang telah ditandatangani oleh Ahli ahli Parlimen Umno untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 9 sejak 2 tahun lalu.
Namun rakyat masih belum pasti apakah sebenarnya berlaku sehingga pihak Umno menukar calon PM mereka dan kemudian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula yang dilantik sebagai PM pada 2021.
Bagi Datuk Seri Anwar, pengakuan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman beberapa hari lalu merupakan kebenaran yang akhirnya muncul setelah 2 tahun pengumuman beliau memilik ‘strong, formidable and convincing majority’ di Hotel Le Meridien yang kemudiannya dikecam dan diperolok olokkan.
“Dulu saya hanya sebut saya mempunyai jumlah yang mencukupi, convincing. Ini ramai yang memperolok tetapi saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang lebih daripada itu kerana melibatkan istana.
“Sekarang bila telah dibongkar, saya tak tahu macam mana SD juga keluar. SD itu untuk Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong tetapi yang nyata ialah apabila saya sebut demikian jumlah itu mencukupi, ini termasuk pembangkang. Tun Mahathir mungkin dia terlupa, dia pun tandatangan menyokong.
“Jumlah itu keseluruhannya tidak dikirim semuanya melalui saya. Ada yang diutus terus ke istana. Ini termasuk yang disebut 15 dari Umno.
“Tetapi Pakatan Harapan masa itu menyatakan, walaupun jumlah itu menjangkau sehingga 120 (kerusi), prinsip kita tidak menerima SD daripada Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid, walaupun dia ada hak untuk tandatangan menyokong sesiapa ikut proses. Jadi tidak boleh dijadikan ini isu kerana keputusan PH, kita tidak menerima walaupun diutus kepada Agong. Kita ada (berpegang pada jumlah) 118,” katanya kepada wartawan dalam satu program di Port Dickson, pagi tadi.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, gugurnya nama belau sebagai calon PM adalah kerana pemimpin Umno yang telah menandatangani SD kemudiannya berubah fikiran kerana beliau tidak mahu berkompromi ke atas badan kehakiman.
Anwar bertegas akan membiarkan proses mahkamah berjalan ke atas mana mana pemimpin Umno yang telah didakwa, sama ada dibebaskan atau didapati bersalah.
“Apa yang berlaku lepas itu adalah saya diminta untuk memberikan kepastian bahawa urusan mahkamah terutama melibatkan Datuk Seri Najib tidak diteruskan, dan saya harus guna kuasa saya selaku PM mempastikan ini tidak diteruskan. Saya tidak bersedia melakukan itu
“Walaupun jumlah cukup dan laluan untuk PM itu sudah cukup kuat, saya tidak bersedia untuk kompromi soal kebebasan badan kehakiman.
“Saya didera kerana proses tercela, saya tidak fikir ini wajar diteruskan di negara ini. Maka oleh demikian saya nyatakan saya tidak sedia campur urusan badan kehakiman
“Kerana keputusan tegas saya itulah Najib usulkan calon lain di saat akhir dan menafikan saya,” katanya.
Justeru, Anwar menyerahkan kepada pertimbangan rakyat dalam Pilihan Raya Umum berikutnya untuk membuat keputusan sama ada memilih pemimpin berintegriti atau yang sedia mengkompromikan prinsip perjuangan demi jawatan PM.
“Tetapi saya masih yakin ini keputsuan rakyat. Kalau politik kita masih bergantung kepada mereka sehingga terpaksa korbankan tunggak Perlembagaan dan badan kehakiman, saya tidak bersedia,” katanya lagi.