Suspek kes beli ‘nasi ganja’ guna helikopter didakwa 9 Mei ini

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abdul Jalil Hassan, berkata polis telah menyelesaikan siasatan berhubung kejadian itu dan merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

PETALING JAYA: Suspek kes helikopter mendarat tanpa kebenaran di Padang Ipoh untuk mengambil tempahan ‘nasi ganja’, nasi kandar terkenal di bandar raya itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh 9 Mei ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abdul Jalil Hassan, berkata polis telah menyelesaikan siasatan berhubung kejadian itu dan merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Katanya, polis menerima arahan untuk mendakwa suspek mengikut Peraturan 77 (2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 kerana gagal mengikut pelan penerbangan yang dikemukakan semasa mendaratkan pesawat di lokasi selain daripada aerodrome yang ditetapkan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Julai lalu, Helikopter Bell 505 secara kontroversi mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil 36 paket nasi kandar terkenal di bandar itu, yang popular dengan panggilan “nasi ganja”, yang ditempah oleh pelanggan di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid sebelum ini berkata, permit perjalanan itu diberikan oleh pegawai yang menjaga sebuah balai polis di Selangor untuk membolehkan helikopter itu melakukan perjalanan ke Ipoh dalam “pusingan penyelenggaraan”.

Pemilik helikopter itu, Mohamed Raffe Chekku, berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat kejadian itu.