Politik Melaka mungkin bergolak Isnin ini?
Pergolakan politik Melaka menimbulkan tanda tanya dalam dua hari ini apabila terdapat ura-ura empat ADUN penyokong kerajaan akan berhijrah ke pembangkang dan membentuk kerajaan baharu.
Namun, Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, tidak mengesahkan akan berlaku sebarang perubahan kuasa ketika ini.
Katanya, pergolakan tersebut lebih kepada isu dalaman parti-parti yang membentuk Kerajaan Negeri.
“Orang sedang memasak, kita ambil bau dari jauh. Orang kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.
“Saya di Melaka ini sudah dua minggu, itu saja saya nak cakap. Nanti kita beritahu apabila sampai masa, sabar,” katanya dipetik BH.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya tersebut tidak menolak seandainya pembangkang ditawarkan untuk membentuk kerajaan baharu.
Katanya, biarpun pada minggu ini politik Melaka kelihatan tenang tetapi tiada jaminan ketenangan itu akan berterusan pada minggu hadapan.
“Setakat ini tenang, hari Sabtu. Mungkin esok tak tenang, mungkin Isnin tak tenang.
“Kita tunggu hari Isnin, kalau nak berlaku Isnin lah sama ada (Ketua Menteri) nak letak jawatan atau tidak. Benda itu kena berlaku dulu, kalau tak macam mana nak tukar kerajaan,” ujarnya lagi.
Shamsul juga menegaskan sebarang perubahan kerajaan di peringkat negeri tidak akan menjejaskan memorandum kerjasama yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan dan Kerajaan Perikatan Nasional kerana MoU tersebut dipersetujui di peringkat pusat dan bukannya negeri.
Situasi tidak menentu politik Melaka timbul apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata beliau tidak perlu bertemu dengan empat ADUN yang didakwa bakal beralih sokongan.
Tegasnya, jika mereka mahu berhijrah maka mereka perlu berjumpa sendiri dengan kepimpinan tertinggi yang mungkin membawa maksud menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Sri Utama Dr Ali Rustam.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri Melaka terdiri dari 14 ADUN BN dan 3 ADUN PN, menjadikan jumlah kesemuanya 17 ADUN.
Manakala pembangkang terdiri daripada 11 ADUN Pakatan Harapan. Penghijrahan 4 ADUN akan menyebabkan berlakunya pertukaran Kerajaan Negeri.