Organisasi yang tidak memahami konsep akauntabiliti adalah organisasi yang tidak layak diberi tanggungungjawab.

 

JAMZURI ARDANI


Apatah lagi sekiranya organisasi tersebut adalah organisasi politik.
Sebelum ini mantan Menteri Agama, Dr Mujahid telah menyaman akhbar milik sebuah parti politik kerata artikel fitnah yang disiarkan oleh akhbar tersebut berkaitan isu LGBT, Tabung Haji, tangkapan khalwat, dan beberapa isu lain.
Akhirnya penyelesaian di luar mahkamah dipersetujui dan akhbar tersebut perlu meminta maaf dan menarik balik di atas tulisan berbentuk fitnah tersebut.
Saya membaca kenyataan maaf yang dibuat oleh wartawan akhbar tersebut. Agak aneh kerana, permohonan maaf tersebut hanya dibuat oleh wartawan terbabit secara individu dan bukannya oleh pengurusan organisasi akhbar tersebut secara kolektif. Saya tidak mempunyai maklumat tepat berkenaan terma yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Pun begitu, kelihatannya pihak pengurusan akhbar tersebut seperti mahu lepas tangan dan meletakkan beban kesalahan tersebut di atas bahu wartawan terbabit secara individu, sedangkan artikel tersebut disiarkan oleh akhbar itu sendiri.
Bagi saya ini adalah contoh ketiadaan sifat akauntabiliti di pihak pengurusan akhbar tersebut.
Satu lagi contoh masalah akauntabiliti ialah apabila ada anggota kabinet kerajaan mengkritik polisi kerajaan secara terbuka. Seorang anggota kabinet kerajaan, dari sudut akauntabiliti, tidak sepatutnya menyerang polisi kerajaan secara terbuka. Sekiranya beliau mahu menyerang polisi kerajaan dan menyatakan sikap tidak setuju terhadap kerajaan, beliau perlu meletakkan jawatan sebagai anggota kerajaan. Setelah meletak jawatan, barulah beliau bebas untuk untuk mengkritik kerajaan. Perbuatan mengkritik kerajaan secara terbuka tetapi memilih untuk terus bersama dalam kabinet kerajaan adalah sifat hipokrit. Ini tidak dibuat oleh pemimpin politik di negara-negara yang maju dan bertamadun. Tetapi inilah yang berlaku negara kita.
Ini membayangkan betapa pemimpin kerajaan itu sendiri tidak memahami konsep akauntabilti dalam berkerajaan. Amat malang buat rakyat.

No comments: