BERSATU USAH BERHARAP LAGI KEPADA KERJASAMA UMNO, LEBIH BERMARUAH JIKA HUBUNGAN DIPUTUSKAN TERUS

 

Bersatu melalui kenyataan Mahiaddin Md Yasin baru-baru ini menyatakan parti itu sedia “melanggar” UMNO pada PRU15 akan datang.

Katanya, Bersatu hanya akan bekerjasama dengan parti yang sealiran dengan mereka saja.

“Walaupun kerjasama dalam membentuk kerajaan hari ini masih ada bersama UMNO, namun kita kurang jelas hala tuju parti itu pada masa akan datang.

“Jika tiada kerjasama, kita sedia ‘langgar’ mereka dan saya rasa ini sememangnya prinsip yang diterima oleh ahli-ahli Bersatu,” tegas Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN itu lagi.

Semalam pula, ketika bercakap dengan media di Sabah, Mahiaddin sekali lagi mengulangi perkara yang sama.

Menurut beliau, Bersatu bukan saja sedia berdepan dengan UMNO jika parti itu memutuskan enggan bekerjasama dengan mereka, malah pihaknya ada strategi sendiri untuk menghadapi keadaan itu.

“Jadi apabila kita terpaksa bertembung dengan UMNO, kita sedia hadapinya.

“Itu realiti politik dan kita ada strategi serta cara kita, akhirnya kita serah kepada rakyat tentukan parti mana yang terbaik untuk pilihan mereka,” katanya

Dalam kedua-dua kenyataan itu, di sebalik mengatakan sedia “melanggar” UMNO dan ada strategi sendiri untuk berdepan parti itu, Mahiaddin nampaknya masih berlapik dengan menyebut ayat – sekiranya UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu.

Ini tidak lain menunjukkan Mahiaddin dan Bersatu seolah-olah masih berharap UMNO sedia bekerjasama dengan mereka.

Seolah-olahnya juga ia suatu bentuk ugutan halus kepada UMNO.

Sebenarnya hanya membuang masa saja Bersatu mengharapkan masih ad kerjasama daripada UMNO, malah mengulang-ulangnya menunjukkan Bersatu terlalu bergantung nyawa kepada UMNO.

Nampak lekeh sangat Bersatu dan Mahiaddin dengan perlakuan sedemikian, sedangkan UMNO melalui ketetapan PAU dan keputusan MT telah pun memuktamadkan keputusan tiada kerjasama dengan Bersatu.

Lebih daripada itu, ketika kerusi Perdana Menteri dipegang oleh Bersatu pun UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, logiknya tentulah setelah berjaya merampas kerusi tersebut, keengganan kepada bekerjasama dengan Bersatu bertambah tebal lagi sekarang ini.

Oleh itu, sia-sia saja Mahiaddin terus bercakap atau mengeluarkan ayat yang menggambarkan Bersatu masih menaruh harapan kepada kerjasama daripada UMNO.

Lagi pula, semakin menunjukkan pengharapan itu, lagi semakin sombong dan bongkak UMNO dibuatnya.

Lupakan saja UMNO, sebaliknya Bersatu mesti mengukuhkan kekuatannya sendiri sambil mempererat lagi hubungan dengan rakan-rakan dalam PN, khususnya Pas yang kini menguasai tiga negeri – Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selagi Bersatu dapat menjadikan Pas sekutu mereka, gah macam mana sekali pun UMNO bertempik tentang kekuatan mereka, realitinya tidak semudah itu mereka mampu memenangi PRU15 secara bersendirian.

Biarkan saja UMNO syok sendiri dengan kekuatannya itu, walaupun hakikatnya ia sedang mengalami banyak penyakit dan perlu dialisis secara berjadual untuk kekal bernyawa lagi.

Kenyataan Zahid Hamidi baru-baru ini yang meragui sama ada Muafakat Nasional masih wujud atau sebaliknya adalah suatu kelebihan buat Bersatu kerana ia menggambarkan UMNO sendiri seperti sudah tiada selera lagi terhadap Pas.

Apabila Presiden UMNO sendiri tidak tahu MN masih wujud atau tidak, kesimpulan mudahnya ialah memang sudah berkuburlah gabungan itu.

Ini sepatutnya menjadikan Bersatu mengukuhkan lagi hubungan dengan Pas dan melupakan terus UMNO buat selama-lamanya.

Lebih cantik lagi, jika UMNO boleh membuat ketetapan tiada kerjasama dengan Bersatu, inilah masanya juga Bersatu perlu membalasnya dengan membuat ketetapan mereka juga tidak perlu lagi bekerjasama dengan UMNO – 


ShahbudinHusin 03/10/2021.



No comments: