DOKUMEN UNTUK TATAPAN DAN DIBACA

https://sg.docworkspace.com/d/sAHFpO9mY1M-KAYb6yKOqpxQ

[File]SURAT TERBUKA PERTUBUHAN PENGUSAHA SAWIT DAN PADI PERAK TENGAH 29.9.2021 signed.docx

PERTUBUHAN PENGUSAHA SAWIT DAN PADI PERAK TENGAH

325, Jalan Cempaka,

FELCRA Changkat Lada,

36800 Kg Gajah,

PERAK DARUL RIDZUAN


SURAT TERBUKA UNTUK PEMIMPIN NEGARA


Untuk disiarkan oleh semua 

Media Cetak / Media Elektronik / Media Sosial

Seluruh Semenanjung Malaysia         30 September 2021


Tuan / Puan,


SUARA AHLI KELUARGA MALAYSIA YANG TELAH DIANAKTIRIKAN APABILA PERMOHONAN KAMI 

PENGUSAHA SAWIT DAN PADI PERAK TENGAH UNTUK BERTEMU DENGAN PERDANA MENTERI 

YAB DATO' SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB TIDAK DIENDAHKAN DAN TIDAK DIPEDULIKAN 

KERANA KAMI INGIN BERKONGSI KISAH PENYELEWANGAN YANG TELAH BERLAKU DI 

FELCRA CHANGKAT LADA, SEBERANG PERAK, KAMPUNG GAJAH, PERAK DARUL RIDZUAN 

DAN INGIN MENUNTUT HAK KAMI YANG SELAMA INI TELAH DIAMBIL OLEH FELCRA BERHAD

__________________________________________________________________________________


Dengan hormat saya merujuk kepada perkara di atas.


2. Saya Ali bin Hasan mewakili 65 orang penduduk di FELCRA Changkat Lada, Seberang Perak, Kampung Gajah, Perak ingin meluahkan perasaan kami sebagai penduduk kampung yang TELAH DIANAKTIRIKAN. Tujuan penulisan ini BUKANLAH UNTUK MELAWAN pemerintah khususnya Kerajaan Malaysia dan TIADA NIAT untuk mengganggu keharmonian atau memecah keamanan di Malaysia, namun hanya luahan hati kami penduduk kampung dan sebagai rakyat Malaysia yang membawa kisah semasa yang benar.


3. Untuk makluman tuan / puan, surat-surat saya utuskan kepada Perdana Menteri sebelum ini membawa nama Kumpulan Sepakat Jaya. Iaitu satu kumpulan bekas peserta FELCRA Changkat Lada, Seberang Perak yang disertai seramai 65 orang penduduk kampung. Kami merupakan Pengusaha Sawit dan Padi di sekitar FELCRA Changkat Lada, Seberang Perak. Namun nama Kumpulan Sepakat Jaya itu ditukar setelah mendapat nasihat daripada pegawai di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Cawangan Perak agar kami menggunakan nama PERTUBUHAN PENGUSAHA SAWIT DAN PADI PERAK TENGAH. Ia bagi menjelaskan fungsi kami sebagai pengusaha sawit dan padi di Daerah Perak Tengah.


4. Oleh itu ingin ditegaskan, pertubuhan ini mempunyai bilangan keahlian seramai 65 orang yang juga merupakan pengusaha dan pembekal bahan makanan utama rakyat Malaysia iaitu padi. Kami juga penyumbang kepada ekonomi negara yang memiliki dan mengusahakan ladang sawit persendirian sekaligus menjadi sebahagian komiditi utama ekonomi negara. MAKA KAMI INGIN MENGUSULKAN PERTANYAAN KENAPAKAH PERMOHONAN BAIK KAMI UNTUK BERTEMU DENGAN PERDANA MENTERI BAGI MEMBINCANGKAN PERKONGSIAN MASALAH TIDAK MENDAPAT LAYANAN? 


5. Perdana Menteri telah membentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12) dengan objektif “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan”. Tetapi saya ingin bertanya, DI MANA “INKLUSIF” NYA ? Inklusif membawa maksud merangkum, termasuk dan menyeluruh. DI MANAKAH MENYELURUHNYA (INKLUSIF) JIKA MASALAH YANG INGIN KAMI BAWA KEPADA PERDANA MENTERI TIDAK DIPEDULIKAN BAHKAN SURAT KAMI UNTUK BERJUMPA PERDANA MENTERI LANGSUNG TIADA JAWAPAN?


6. 3 isu utama yang ingin kami suarakan adalah seperti berikut :-


(A) SURAT-SURAT KEPADA PERDANA MENTERI DAN LAIN-LAIN MENTERI SERTA YANG BERHORMAT WAKIL RAKYAT TIDAK DIJAWAB


7. Pada 28 Julai 2021, saya telah menulis surat kepada Perdana Menteri ketika itu iaitu YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin dengan tajuk surat seperti berikut :-


Perkara 1 :- Memohon Bayaran Bantuan ‘One Off’ Rm1,000 Seorang Kepada Kami Peserta Yang Telah Keluar Dari Felcra Dan Mengusahakan Sendiri Tanaman Padi Dan Sawit


Perkara 2 :- Memohon Bayaran Balik Semua Peruntukan Yang Diberikan Oleh Kerajaan Kepada Peserta Felcra Tetapi Masih Belum Dilunaskan Bayaran Sepenuhnya Oleh Pengurusan Felcra Kepada Kami, Seperti Insentif Peningkatan Hasil (Iph) Yang Belum Dilunaskan Sepenuhnya Oleh Felcra Sejak Tahun 2008


8. Salinan surat tersebut telah dihantar kepada :-

(i) Menteri Pembangunan Luar Bandar

(ii) Menteri Kewangan

(iii) YB Parlimen Pasir Salak

(iv) Pengerusi FELCRA Berhad

(v) CEO FELCRA Berhad

(vi) Pengurus Besar FELCRA Berhad Cawangan Perak di Ipoh,Perak

(vii) Timbalan Pengurus Besar, FELCRA Berhad Seberang Perak, Changkat Lada, Kg Gajah


9. Namun sehingga 31 Ogos 2021, tiada sebarang jawapan daripada pihak Perdana Menteri atau daripada mana-mana pihak yang menerima salinan surat tersebut seperti senarai di atas.


10. Sehinggalah aturan daripada Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Kuasa menukarkan Perdana Menteri Malaysia kepada YAB Dato' Sri Ismail Sabri Bin Yaakob. Saya kemudiannya mengutuskan surat sekali lagi kepada Perdana Menteri Malaysia yang baharu ini.  


11. Maka pada 4 September 2021, saya telah menulis surat dengan tajuk surat seperti berikut:- 

Mohon Maklum Balas Untuk Surat Saya Bertarikh 29 Julai 2021 Yang Telah Dihantar Kepada YAB Perdana Menteri Dan Senarai Menteri / Yang Berhormat Serta Mohon Diizinkan Saya Berjumpa Dengan Yab Perdana Menteri Bagi Menghuraikan Masalah Yang Kami Hadapi Secara Berdepan Agar Masalah Ini Dapat Dijelaskan Kepada Yab Perdana Menteri.


12. Sehingga kenyataan ini ditulis, pihak Perdana Menteri atau lain-lain Menteri atau pegawai berkaitan tidak memberi apa-apa maklum balas kepada saya. Kenapakah pemimpin negara seperti Perdana Menteri dan lain-lain Yang Berhormat Menteri / Ahli Parlimen serta pemimpin FELCRA tidak menjawab surat daripada rakyat seperti surat saya ini? Walaupun telah beberapa kali surat dihantar melalui pos laju dan sistem emel kerajaan, namun tiada apa-apa maklum balas yang diberikan oleh pihak pemimpin kerajaan.


13. Maka suka saya merujuk kepada hadis berikut, 


“Daripada Abu Maryam al-Azdi, dia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang diberikan kuasa oleh Allah untuk menguruskan urusan kaum muslimin, lalu dia membina persempadanan (menutup ruang komunikasi atau menyusahkan) dari keperluan mereka, perdampingan dengan mereka dan kebersamaan dengan orang-orang miskin, maka Allah akan menghalang keperluannya, perdampingannya dengan Allah dan kefakiran (keperluannya kepada Allah). Mendengarkan hadis ini, Saidina Muawiyyah melantik seorang lelaki bagi menjaga segala keperluan rakyatnya. (Sunan Abu Daud, no: 2948 - dinilai Sahih oleh al-Albani).”


(B) ISU YANG INGIN DISAMPAIKAN KEPADA PERDANA MENTERI ADALAH BERKAITAN PENYELEWENGAN YANG DILAKUKAN OLEH FELCRA BERHAD SEJAK LAMA DAHULU HINGGA KINI


14. Merujuk kepada perenggan no. 7 perkara 2 di atas, ia adalah tuntutan hak kami di atas penyelewengan yang dilakukan oleh FELCRA Berhad dan masih tidak membayar wang dan hak kami sehingga kini.


15. Selain itu saya juga mempunyai bukti-bukti penyelewengan seperti berikut:-

(i) Ada peserta FELCRA Changkat Lada, Seberang Perak yang mempunyai Geran Tanah tetapi tanah itu tidak wujud. Tiada tanah secara fizikal.

(ii) Ada peserta FELCRA Changkat Lada, Seberang Perak yang tidak mempunyai Geran dan tidak mempunyai tanah secara fizikal. Padahal setiap peserta dikurniakan 3 ekar sawah bendang dan 3 ekar tanaman sawit.

(iii) Ada juga peserta FELCRA Changkat Lada, Seberang Perak yang tanahnya telah dijadikan laluan jalan raya berturap tetapi tidak dibayar sebarang pampasan dan tidak digantikan dengan tanah yang lain.

(iv) Pengurusan FELCRA Changkat Lada, Seberang Perak telah menjalankan aktiviti tanaman padi di atas tanah rizab parit dan rizab jalan menggunakan dana yang dikurniakan oleh kerajaan untuk peserta FELCRA. Dana mereka guna. Hasil untung mereka ambil. Maka hak kami telah dicuri tanpa pengetahuan kerajaan.

(v) Lain-lain bukti penyelewangan kewangan yang dilakukan oleh FELCRA Berhad dan boleh saya tunjukkan sekiranya Perdana Menteri bersetuju bertentang mata dan mendengar luahan hati saya ini.


16. Suka saya nyatakan bahawa hal penyelewengan FELCRA Berhad ini telah dimajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Perak berpejabat di Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak melalui surat bertarikh 20.8.2020 dan telah dicop penerimaan pada 21.8.2020 oleh Tuan Abdul Jalil bin Hamdan selaku Penolong Penguasa SPRM Negeri Perak. Perkara surat tersebut ialah “MOHON SIASATAN TERHADAP PENYELEWENGAN YANG DILAKUKAN OLEH FELCRA SEBERANG PERAK / FELCRA BERHAD”.


(C) MENGAPA KAMI DI FELCRA DIANAKTIRIKAN DAN TIDAK MENERIMA FAEDAH SERTA KEISTIMEWAAN YANG SAMA SEPERTI YANG DITERIMA OLEH PENEROKA FELDA


17. Umum mengetahui baru-baru ini, kerajaan telah memansuhkan segala hutang-hutang milik peneroka FELDA di seluruh Malaysia. Namun untuk kami, sewaktu menjadi peserta FELCRA, kami perlu membayar segala hutang-hutang kami kepada pengurusan FELCRA. Secara puratanya, kami bekas peserta FELCRA perlu membayar sehingga RM14,000.00 (Ringgit Malaysia : Empat Belas Ribu Sahaja) setiap seorang bagi membebaskan diri daripada hutang dengan FELCRA Berhad.


18. Padahal kami telah menulis surat bertarikh 07.8.2020 kepada Perdana Menteri ketika itu dengan dengan tajuk, “MOHON KUASA BUDI BICARA YAB PERDANA MENTERI UNTUK MENGURANGKAN KADAR BAKI HUTANG DENGAN FELCRA BERHAD YANG PERLU DIBAYAR OLEH KAMI 62 ORANG PESERTA FELCRA YANG INGIN MENGUSAHAKAN SENDIRI PADI DAN KELAPA SAWIT”. 


19. Tujuan surat itu bukan untuk menghapuskan hutang sekali gus. Kami hanya memohon pengurangan hutang sahaja atas sebab jasa-jasa kami mengusahakan sawit dan padi selama ini bersama FELCRA Berhad. Namun surat itu seperti biasa, tidak dilayan oleh Perdana Menteri mahupun Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu. 


20. Oleh yang demikian, saya selaku Presiden Penaja Pertubuhan Pengusaha Sawit dan Padi Perak Tengah bersama-sama seluruh ahli pertubuhan ini yang juga merupakan penduduk kampung di FELCRA Changkat Lada, Seberang Perak, Kampung Gajah, Perak memohon maklum balas daripada semua pihak yang terlibat.


21. Saya juga menawarkan diri untuk ditemuramah oleh mana-mana agensi berita baik dari media cetak, media elektronik atau media sosial bagi membongkar segala perkara yang telah saya utarakan di atas.


22. Sebagai kesimpulan, suka saya merujuk kepada hadis berikut, 


“Daripada Aisyah RA, dia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda di dalam rumahku ini: Wahai Tuhanku, barangsiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku ini lalu dia menyusahkan urusan umatku, maka susahkanlah (urusan) mereka. Dan barangsiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku dan dia melakukannya dalam keadaan yang lembut dan baik maka Engkau berlaku lembutlah terhadap mereka. (Sahih Muslim, no: 1828).”


23. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan saya di alamat di atas atau nombor telefon saya iaitu 013-4026348 atau emel saya di masterzaki@gmail.com .


Segala perhatian yang diberikan saya ucapkan terima kasih.



Yang benar,



Ali

........................

ALI BIN HASAN

Pengerusi Penaja

Pertubuhan Pengusaha 

Sawit dan Padi Perak Tengah

No comments: