Dakwaan umat Islam Malaysia berisiko diserang golongan ‘kafir,’ laporan polis dibuat terhadap penceramah


Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global, S Shashi Kumar, di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul selepas membuat laporan terhadap Syakir Nasoha.

PETALING JAYA: Kira-kira 30 badan bukan kerajaan membuat laporan polis terhadap seorang penceramah tempatan, Syakir Nasoha, yang didakwa menghina penganut agama Hindu dan Buddha, serta orang Dayak, dalam ceramahnya.

Jurucakap kumpulan itu, Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global, S Shashi Kumar, seusai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mendakwa penceramah itu berkata “orang kafir” akan menyerang orang Islam.

Shashi mendakwa, penceramah itu, sambil merujuk kepada keganasan terhadap orang Islam di negara-negara lain, berkata agama yang dikaitkan dengan pelaku keganasan itu turut berada di Malaysia.

“Ada pihak cuba padam keterangan serta (video) TikTok berkaitan, tapi kami berjaya peroleh keterangan itu,” kata Shashi kepada pemberita.

“Orang bukan Islam di Malaysia sengaja ‘diserang’. Saya tak tahu apa yang dirancang, apa yang sedang berlaku.”

Persekutuan Hak Asasi Manusia Global mahu pihak berkuasa menahan Syakir dan mendakwa penceramah itu atas kenyataannya yang dibuatnya.

“Kami, orang bukan Islam, bosan menjadi sasaran. Cukuplah,” katanya.

Shashi berkata selain badan yang diwakilinya, beberapa badan lain termasuk dari Sabah dan Sarawak akan membuat laporan polis terhadap Syakir. Menurutnya, kira-kira 3,000 laporan polis akan dibuat di seluruh negara berhubung isu ini.

Persekutuan Hak Asasi Manusia Global juga menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bertindak atas isu itu, kerana ia mengancam keharmonian negara.

Sementara itu, pentadbir laman media sosial Syakir ketika dihubungi FMT memberikan pautan kepada video penuh ceramahnya.

“Sila fahami dengan baik secara keseluruhan,” katanya.

FMT sedang berusaha mendapatkan respon Syakir sendiri.

No comments: