Bahaya janji-janji manis Pas yang tidak menyebut tarikh

 

Notis pemberitahuan oleh Syarikat Air Terengganu (SATU), yang menyatakan ‘pengiraan bil bulan Ogos dan September bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus adalah dibuat mengikut anggaran’, telah menerima banyak reaksi negatif dari orang ramai.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar semasa krisis berlaku Ogos lalu telah mengumumkan dua bulan air percuma untuk mereka yang terjejas dan pemberitahuan oleh SATU telah mengejutkan rakyat serta menjejaskan imej serta kredibiliti Menteri Besar.

Beliau adalah Pengerusi SATU dengan beberapa lagi Exco kerajaan sebagai Lembaga Pengarah dan sudah tentu kredibiliti dan janji beliau sebagai Menteri Besar tercalar oleh kenyataan dari anak buah beliau sendiri dari SATU.

Laporan portal rasmi Pas Harakahdaily telah menyatakan Menteri Besar tiada menyebut tarikh janji tersebut akan dilaksanakan untuk cuba menutup kelemahan kenyataan yang menimbulkan kekecewaan dan kemarahan sebahagian besar dari sekitar 29,000 keluarga atau 150,000 rakyat yang terjejas.

Cubaan lidah rasmi Pas Harakahdaily untuk bermain dengan kata-kata Menteri Besar ‘tiada menyebut tarikh’ untuk bantuan air percuma sambil memperkecilkan masalah dan penderitaan 150,000 penduduk Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, merupakan penghinaan murahan yang akan menghantui Pas dalam banyak isu janji-janji Pas yang lain lagi.

Ada rakyat secara sinis menyatakan kerana itulah sehingga hari ini janji PRU14 kerajaan Pas untuk memberi tapak kediaman dan rumah kepada rakyat masih tidak ditunaikan kerana “tiada menyebut tarikh”.

Adakah ini permainan kata kata janji kosong atau akan dilaksanakan pada PRU ke 20? tanya kebanyakan mereka dengan nada sinis.

Adapun pendekatan yang sama sedang digunakan juga oleh Pas di peringkat Parlimen di mana setelah menjadi kerajaan, isu RUU 355 , Hudud dan isu judi tidak lagi kedengaran dengan seribu satu alasan ditangguh.

Setiausaha Agong Pas, Datuk Takiyuddin pernah memegang jawatan Menteri Undang-undang menjaga urusan Parlimen boleh memudahkan pembentangan RUU355 tersebut tetapi tiada usaha dibuat.

Kini Menteri Agama Idris Ahmad iaitu Naib Presiden Pas, dan Timbalan Menteri Agama Marzuk, adalah dari Pas tetapi cabutan judi 4D naik 22 cabutan setahun dan judi di Genting masih diteruskan tanpa apa apa usaha lain membendungnya.

Kalau isu RUU355, Hudud dan judi boleh ditangguh tanpa ada jangkaan tarikh dan masa, apa sangatlah pula nasib air percuma dua bulan!

Seperti dikatakan oleh lidah rasmi Pas Harakahdaily, Pas “tiada menyebut tarikh” untuk janji bil percuma, samalah untuk pelaksanaan janji-janji RUU dan janji yang lain lain.

Seorang ahli kanan Dewan Ulama Pas apabila merujuk kepada perlaksanaan RUU 355 menyatakan pula “tidak akan lari gunung di kejar”!

Dua bulan air percuma yang dijanjikan itu jika dikira dengan purata RM15 sebulan, satu isi rumah hanyalah RM30 untuk dua bulan.

Kalau penduduk sebuah isi rumah mempunyai lima orang, ia bermakna seorang akan mendapat manfaat RM3 sebulan atau RM0.10 (sepuluh) sen seorang untuk satu hari.

Bandingkan dengan kos membeli air minum berbotol, bayar dobi, bayaran pesanan makanan melalui FoodPanda atau Grab, kerugian perniagaan bagi mereka yang berniaga makanan dan kuih serta masa dihabiskan beratur mengangkut air dari telaga atau lori air.

Rakyat rasa terhina dan tertipu dengan janji dan dolak dalih kerajaan dalam pendekatan yang diambil.

Di sidang Dewan Undangan Negeri pula jawapan isu krisis air dijawab dengan tidak memuaskan iaitu dengan menyalahkan jabatan sendiri atas kordinasi dan pengawasan.

Kalau Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri dan juga sebagai Pengerusi SATU serta bersama Exco Kerajaan negeri tidak boleh menunaikan janji sekitar RM15 sebulan satu rumah atau 10 sen sehari untuk seorang rumah berisi lima penduduk, ke mana lagi rakyat nak berharap?

Di manakah perginya wang royalti minyak dan gas yang diterima terus dari kerajaan pusat sekitar RM2 bilion setahun dicurahkan kalau tidak pada yang susah?

Janganlah permainkan janji kepada rakyat yang dihimpit masalah air hampir sebulan setengah di tengah-tengah pendemik Covid-19 yang masih tidak kelihatan penghujungnya dengan alasan Menteri Besar dan PAS “tiada menyebut tarikh” menunaikan janji tersebut!


No comments: