Panas! Razman tempelak Tajuddin bagi kenyataan liar

 

Panas! Razman tempelak Tajuddin bagi kenyataan liar


Kenyataan Pas tidak boleh berkempen untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di mana-mana kawasan yang bertembung dengan calon UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang merupakan pandangan peribadi yang tidak mewakili parti.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, sehubungan itu kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman itu tidak boleh diambil kira.

Menurutnya, Pas tidak mengambil kira kenyataan-kenyataan liar dari luar seperti itu dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

“Ini bukan politik veto, kenyataan beliau tidak boleh diambil kira kerana itu adalah kenyataan secara persendirian, kenyataan bukan mewakili parti UMNO secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Menteri Besar Bersama Rakyat di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.

Razman berkata, Pas tetap mengharapkan kestabilan politik dalam kalangan parti-parti Melayu dan mereka sepatutnya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam keadaan politik hari ini.

Katanya, sekiranya parti-parti Melayu masing -masing ingin membawa haluan, negara akan mengalami suasana politik yang tidak stabil dan merugikan rakyat.

“Pas berharap penyatuan yang ada sekarang di antara UMNO, Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) kekal untuk mengelak mudarat yang lebih besar.

“Kita tidak mahu pertembungan antara parti-parti Melayu menyebabkan DAP berkuasa kerana mereka akan mengambil kesempatan,” katanya.

Menurutnya, apa pun sebarang keputusan mengenai kerjasama Pas dengan parti lain bergantung kepada pucuk pimpinan Pas Pusat dan pimpinan negeri serta akar umbi akan akur dan taat pada setiap keputusan yang dibuat.

Semalam, Tajuddin berkata, UMNO tiada masalah jika Pas ingin terus bekerjasama dengan Bersatu namun jangan menyusahkan UMNO dengan tidak boleh berkempen untuk Bersatu di mana-mana kawasan yang bertembung dengan calon UMNO dalam PRU akan datang.  




No comments: