Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika ini sudah berada di Abu Dhabi selepas selesai melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi.
Semasa di Arab Saudi, selain menunaikan umrah di Mekah dan berziarah di Madinah, beliau pada awalnya dijadual menghadap Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, pemerintah negara tersebut sebagai aturcara utama lawatannya.
Sebelum pemergiannya ke Arab Saudi, Muhyiddin sendiri memaklumkan lawatannya ini adalah atas jemputan Raja Salman.
Selepas selesai menunaikan umrah, diberi peluang memasuki Kaabah, kemudian berziarah di Madinah dan seterusnya dijangka ke Riyadh untuk acara sambutan rasmi diikuti menghadap Raja Salman, tiba-tiba tersebar laporan majlis menghadapnya itu bukan diadakan secara bersemuka, sebaliknya hanya secara maya.
Ia lantas menimbulkan kritikan dalam negara dengan pertanyaan untuk apa sebenarnya Muhyiddin pergi melawat Arab Saudi jika pertemuan dan majlis menghadapnya dengan Raja Salman hanya diadakan secara maya saja?
Bukankah ia boleh juga dilakukan dari Kuala Lumpur, Putrajaya atau Pagoh misalnya?
Ada yang menimbulkan persoalan apakah Muhyiddin sebenarnya pergi ke Arab Saudi hanya untuk menikmati kemudahan dan layanan sebagai Perdana Menteri ketika menunaikan umrah dan ziarah semata-mata?
Selepas ketibaannya di Riyadh yang disambut oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, apa yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia ialah majlis menghadapnya dengan Raja Salman, walaupun ia hanya dilakukan secara maya.
Untuk beberapa ketika selepas ketibaannya di Riyadh, langsung tidak terdengar khabar mengenai majlis menghadapnya itu, begitu juga tiada sebarang gambar berkaitan dengannya muncul di mana-mana media.
Segala-galanya hanya terjawab melalui catatan di Facebook Muhyiddin sendiri awal pagi ini sebelum beliau berlepas ke Abu Dhabi, malam tadi.
Dalam catatannya, Muhyiddin memaklumkan beliau kini sedang menuju ke Abu Dhabi, destinasi lawatan rasmi beliau yang seterusnya selepas Arab Saudi.
Turut disebutnya, beliau telah diterima menghadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman sebelum berlepas ke Abu Dhabi.
Katanya, pertemuan yang berlangsung selama 1 jam 30 minit itu adalah bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia dengan Arab Saudi, termasuk kouta haji, perlaksanaan ibadah haji dan umrah ketika pandemik serta pembentukan Majlis Koordinasi Saudi-Malaysia.
Turut dipaparkan gambar pertemuannya dengan Putera Mahkota Arab Saudi itu.
Muhyiddin langsung tidak menyebut tentang Raja Salman dalam catatannya.
Dengan demikian, adalah jelas beliau tidak dapat menghadap Raja Salman sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini.
Apa sebenarnya yang berlaku, kenapa tiada majlis menghadap Raja Salman, sedangkan diperkatakan sebelum ini lawatannya adalah atas jemputan pemerintah Arab Saudi itu sendiri?
Kalau menghadap secara bersemuka tidak dapat dilakukan, apakah menghadap secara maya pun tak boleh juga?
Kenapa Muhyiddin dilayan sebegitu rupa?
Apa pun jawapan sebenar kepada perkara ini, di dalam negara dan di mata rakyat Malaysia, Muhyiddin dilihat sebagai ketua kerajaan yang gagal dan tidak cukup dihormati di peringkat antarabangsa berikutan kegagalannya menghadap Raja Salman itu.
Beliau yang dijangka banyak pihak akan memanfaatkan lawatannya ke Arab Saudi, termasuk ketika gambar mengerjakan umrah dan memasuki Kaabah untuk menaikkan saham politiknya di dalam negara nyata telah gagal berbuat demikian.
Malah, kegagalan menghadap Raja Salman sedangkan pemergiannya ke negara tersebut atas jemputan pemerintah Arab Saudi itu sendiri adalah kegagalan paling memalukan seorang Perdana Menteri yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Tetapi, kenapa ia berlaku?
Apakah ini balasan Tuhan kepada sebuah pengkhianatan? (Shahbudindotcom 10/03/2021)