Apakah isu RUU 355 akan dimainkan Pas lagi menjelang PRU 15?
Himpunan 30,000 umat di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Februari 2017 mencatat sejarah awal kerjasama Umno – Pas dalam memperjuangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Rang Undang-undang 355 (RUU 355) yang dikatakan sebagai pembuka jalan kepada pelaksaaan hukum Hudud di peringkat negeri.
Namun selepas 5 tahun himpunan itu berlalu dan Pas pula telah menganggotai Kerajaan Persekutuan di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), nasib RUU 355 masih terawang-awang dan tidak diketahui sama ada akan diteruskan atau pun tidak.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan, RUU 355 jelas menjadi senjata Pas mempengaruhi pengundi minda Melayu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu kononnya negara akan lebih islamik dengan mengundi mereka. Sedangkan Pas sendiri maklum betapa sukarnya untuk memujuk parti-parti Melayu meluluskan pindaan RUU tersebut.
Oleh itu, kata Zinda, kegagalan Pas meminda RUU itu sepatutnya membuka mata para penyokong parti berkenaan untuk menilai semula sokongan mereka dalam PRU akan datang.
“Hari ini mereka (penyokong Pas) baru sedar bahawa RUU 355 yang dicanang sebelum ini hanyalah satu slogan perjuangan politik Pas semata-mata.
“Untuk tutup cerita, Pas timbulkan isu agama dan bangsa pula apabila ditanya oleh penyokong. Sedangkan mereka (Pas) sendiri tidak jelas dengan RUU 355 juga akta-akta yang ingin dipinda dan sebagainya,” kata Zinda kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu itu lagi, bukan sahaja isu RUU 355 membelenggu Pas, kini banyak ahli Pas sudah mula mempersoalkan beberapa perkara yang ditentang oleh parti itu ketika menjadi pembangkang bersangkutan isu judi, maksiat, kelab hiburan, arak dan sebagainya yang tidak ditimbulkan dalam kerajaan memerintah.
Katanya, penyokong Pas mula tidak senang dengan sikap pemimpin utama parti itu yang berdiam diri setelah mendapat jawatan menteri atau pengerusi GLC.
“Jika tengok hari ini bukan setakat nak buat dasar (pindaan) yang mereka tentang (dahulu), malah (Pas) membisu seribu bahasa.
“Rakyat sendiri sudah menilai hari ini rupa sebenar Pas. Yang dulu kononnya nak tutup kelab malam, kasino, kilang arak dan sebagainya tapi tetap juga dibiarkan” katanya lagi.
Oleh yang demikian, kata Zinda, Pas dalam kempen PRU ke 15 kelak tidak seharusnya menimbulkan lagi perjuangan menegakkan kesucian Islam kerana mereka telah pun diuji dengan kekuasaan, namun terbukti gagal memperjuangkan agama.