Kerajaan PN digesa perkenal kerangka ekonomi digital Malaysia

 


Ekonomi digital semakin mengambil alih ekonomi konvensional ketika era pandemik Covid 19.



Dengan aktiviti pembelian secara atas talian dan berkembangnya khidmat penghantaran barang ke rumah, maka ekonomi digital akan mengubah landskap kehidupan secara keseluruhan sedikit masa lagi.



Bagi mantan Naib Presiden KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub, kelewatan kerajaan Malaysia dalam membina kerangka ekonomi digital akan mempengaruhi daya saing negara dan dijangka bakal ketinggalan berbanding Singapura atau Indonesia yang kelihatan berjaya menarik pelaburan asing, berupa pemain-pemain utama teknologi digital dunia.



Sekiranya kerajaan tidak mampu menyahut cabaran itu, katanya, pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) boleh memperkenalkan Agenda Ekonomi Digital Malaysia (AEDM) 2030 bagi dipersembahkan kepada rakyat dan digarap sebagai dasar negara sekiranya PH terpilih sebagai pemerintah dalam Pilihan Raya Umum akan datang.



"Hari ini kita berdepan dengan impak Covid 19 yang secara global merasainya (kelembapan ekonomi).



"Juga dalam masa sama senario teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Revolusi Industri (IR) 4.0 telah mengambialih ekonomi konvensional.



"Dalam konteks ekonomi digital ini kita saksikan ia bermula serba sedikit pada 1996 (di Malaysia) apabila kerajaan melancarkan Multimedia Super Coridor (MSC) pada 1996.



"Kalau kita saksikan di seluruh dunia pada hari ini ekonomi digital berkembang pantas. Pada tahun 2020 sebanyak 4.5 bilion penduduk dunia menggunakan internet dalam kehidupan harian mereka.



"Manakal e-dagang pula dalam konteks dunia pada tahun 2020 berjumlah AS$2 trilion. Dijangkakan pada 2023 e-dagang dunia akan meningkat kepada AS$ 6.5 trilion. Ini gambaran bagaimana ekonomi digital berkembang," katanya dalam siaran langsung Facebook Gabungan Reformis Malaysia, bertajuk: "Agenda Digital Ekonomi Manusiawi 2030", baru-baru ini.



Katanya, dasar digital yang dilancarkan kerajaan Malaysia hari ini kelihatan kurang lengkap dan tidak menyentuh isu asas ekonomi digital serta bagaimana rakyat Malaysia akan menguasai platform digital berkenaan pada sedekad akan datang.



"Dalam konteks Malaysia pada tahun lepas kerajaan melancarkan MyDigital yang antara lain menegaskan 6 teras strategi yang telah dibentangkan oleh Unit Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.



"Kalau kita lihat, mahu tidak mahu ekonomi manusia akan bergerak sepenuhnya sama ada aktiviti ekonomi mahu pun sosial, sama ada sektor pengeluaran atau penglibatan teknologi digital oleh peniaga dan kerajaan, akan berlaku sepenuhnya pada masa depan (tanpa menunggu kerajaan bersedia atau tidak)," katanya lagi.



Oleh itu, kata Koordinator Gabungan Reformis Malaysia itu menegaskan, tiba masanya PH merangka satu garapan menyeluruh AEDM 2030 bagi menyediakan latihan semula kepada rakyat yang mungkin kehilangan pekerjaan, siswazah yang sukar mendapat pekerjaan juga keseluruhan platform teknologi digital agar tidak ketinggalan berbanding negara serantau.