Dalil mengapa Muhyiddin sudah tidak disukai rakyat

 


Dalil mengapa Muhyiddin sudah tidak disukai rakyat


Pilihan Raya Umum ke-15 tidak akan diadakan pada masa terdekat kerana wabak Covid-19 masih menular? Benar.

Tetapi adakah PRU juga tidak akan diadakan buat masa ini kerana kemungkinan kerajaan Muhyiddin Yassin tidak dapat bertahan? Maksudnya kalah?

Begini:

Menurut satu tinjauan baru-baru ini, populariti Muhyiddin merosot. Dalam bahasa “lembut” – menurun. Tinjauan dijalankan Emir Research yang diketuai Dr Rais Hussin, kawan rapat Muhyiddin sendiri. Rais pernah duduk dalam Majlis Tertinggi PPBM tetapi sekarang ahli biasa.

Menurut Rais, tinjauan itu dibuat pada Disember 2020 dan objektifnya ialah mengesan tahap kerisauan atau kebimbangan rakyat mengenai isu berkaitan Covid-19 dan juga respons mereka terhadap Belanjawan 2021. Seramai 1,926 responden seluruh negara menyertai tinjauan berkenaan.

Baru-baru ini dilaporkan pula warganet menggunakan Facebook Istana Negara untuk mengadu kepada Yang di-Pertuan Agong kesusahan mereka semasa wabak Covid-19 ini dan menyerang Muhyiddin dan pentadbirannya.

Bagi wartawan veteran A Kadir Jasin, menyerang dan mengkritik pentadbiran Muhyiddin di media sosial bukanlah perkara baru atau asing tetapi “menggunakan Facebook Istana Negara untuk membelasah kerajaan Perikatan Nasional dengan teruk dan terbuka adalah fenomena baru”.

Beberapa hari kemudian, ketika perdana menteri berada di Jakarta untuk lawatan rasmi, warganet Malaysia “mengkerumuni” Facebook Presiden Joko Widodo. Kerajaan khususnya Muhyiddin dikecam.

Seorang wartawan Indonesia memberitahu saya “ngeri-ngeri komennya” dan seorang warganet republik itu dilaporkan berkata “tidak ada satu pun komentar positif dari rakyat Malaysia kepada PM Malaysia ini. Apa memang beliau ini pemimpin yang tidak ada dukungan dari rakyatnya sendiri?”.

Berdasarkan semua yang dicatat di atas iaitu tinjauan Emir Research dan serangan menerusi Facebook Istana Negara dan presiden Indonesia, Muhyiddin sudah tidak disukai. Lalu adakah beliau dan kerajaan yang dipimpinnya boleh menang PRU kelak?

Persoalannya adakah rakyat Malaysia (sebahagian atau segelintir?) kebuntuan kerana pada mereka tidak ada jalan penyelesaian dan begitu kecewa sehingga terpaksa mengadu kepada Agong dan meluahkan perasaan kepada ketua negara luar?

Persoalan lagi – adakah mereka ini rakyat biasa atau “cyber troopers” yang diupah musuh politik Perikatan Nasional?

“Tak kira lah troopers yang diupah atau warga negara biasa, saya fikir Pejabat Perdana Menteri mungkin perlu melihat masalah ini khususnya puncanya dan cari penyelesaian atau ‘win-win solution’,” kata penganalis politik Sivamurugan Pandian.

Kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pula “isi kandungan” serangan warganet terhadap Muhyddin di akaun Facebook Istana Negara adalah sesuatu yang serius.

Apa yang berlaku, menurut Zahid, “ialah manifestasi rakyat berhubung kemerosotan ekonomi dan apa yang boleh saya perkatakan ialah rakyat mahukan sebuah negara stabil politiknya dan ekonomi mengukuh”.

Tidak dinafikan keadaan politik dan juga kedudukan kerajaan sendiri tidak stabil manakala ekonomi membimbangkan.

Pun begitu, mungkin ada pihak menganggap kata-kata Zahid itu memang dijangkakan kerana beliau “tidak sehaluan” dengan Muhyiddin.

Bagaimanapun, apa pula kata PAS? Parti Islam yang bersama-sama Muhyiddin dalam kerajaan?

“Sebahagian daripada serangan dan analisis yang dibuat orang ramai itu mungkin ada benarnya yang perlu kerajaan ambil perhatian dan sebahagian lagi mungkin luahan emosi,“ kata Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS. Beliau juga adalah menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

Ada laporan tidak lama dulu mengatakan Muhyiddin kini menerima kesan angkara prestasi “tidak baik” para menterinya. Namun saya tidak dapat elak bertanya bukankah anggota Kabinet dipilih Muhyiddin sendiri?

“Semasa melantik Jemaah Menteri tahun lalu, agak jelas beliau beri keutamaan ke atas kesetiaan politik dan memperkukuh sokongan diletak lebih atas daripada kecekapan,” menurut penganalis politik Oh Ei Sun.

Ironis kata beliau, menteri yang dianggap “sekurang-kurangnya berbuat sesuatu datang daripada Umno bukannya daripada parti Muhyiddin – PPBM”.

Walaupun begitu, pada awal pentadbirannya terutama ketika wabak Covid-19 baru menular, Muhyiddin dan pasukan boleh dikatakan diterima baik sebahagian besar orang Melayu. Apatah lagi pentadbirannya digelar kerajaan Melayu-Islam.

Muhyiddin sendiri disenangi ramai orang Melayu yang menyifatkannya pemimpin Islamik yang memulakan ucapan dengan “Bismillah” dan mengakhirinya dengan doa. Panggilan “Abah” digunakan untuk menjalinkan kemesraan Muhyiddin dengan rakyat terutama orang Melayu.

Akan tetapi kini sebahagian besar golongan yang mengkritik dan menyerangnya dengan pedas adalah orang Melayu. Di mana silapnya?

Menurut Oh, isu utama ialah berkaitan sosio ekonomi. “Setelah satu tahun di mana pelbagai kesilapan dilihat dilakukan dalam memerangi wabak ini, keperitan sosio ekonomi mungkin pada tahap tidak tertahan lagi walaupun ada dasar yang diperkenalkan baru-baru ini yang dilihat punyai elemen agama dan bangsa.”

“Ia sudah tidak boleh menjamin sokongan untuk kerajaan.”

Satu lagi sebab hilang atau kurangnya sokongan ialah “Muhyiddin dan Perikatan Nasional terutama PPBM dianggap tidak cekap dan tidak berkebolehan menangani krisis wabak Covid-19 dan tidak mampu mengatasi tekanan dan beban masalah sosio ekonomi,” kata beliau.

Manakala untuk menjaga kepentingan bangsa dan agama, kata Oh, ramai orang Melayu melihat Umno dan PAS “lebih boleh dharapkan”.

Covid-19 menghalang atau mengehadkan pergerakan pembangkang dan kumpulan anti-Perikatan Nasional yang tidak suka cara gabungan itu merampas kuasa Februari lalu untuk memerintah negara ini.

Dilihat pada sudut itu bolehlah dirumuskan Covid-19 kerap “menyelamatkan” kerajaan.

Sekarang Covid-19 jugalah yang meletakkan kerajaan Muhyiddin dalam situasi yang amat tidak menyenangkan.

Adakah itu kesimpulan terbaik?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili PI.

No comments: