'Ingatkan laptop percuma, rupanya pinjam sahaja'

 


POSTED BY AMIR WRLR

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang menjanjikan pemberian 150,000 laptop kepada para pelajar tetapi kemudian dikatakan hanya pinjaman sahaja dipersoalkan pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil terkejut dengan kenyataan laptop yang akan diberikan kepada pelajar tersebut perlu dipulangkan semula. Kenyataan tersebut tersiar di laman web program Cerdik, kendalian Yayasan Hasanah, di bawah Khazanah Nasional Berhad yang merupakan salah satu penyumbang program laptop untuk pelajar.

Katanya, rakyat Malaysia gembira apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pemberian laptop dalam pembentangan Belanjawan 2021 lalu kerana menyangkakan peranti itu percuma.

"Dah lah 150,000 laptop tu kita tak tahu bila akan dihantar. Tapi laptop-laptop ni nanti kena pulang balik. Ingatkan bagi terus, rupanya pinjam sahaja.

"Kenapa bab yang ini Tengku Zafrul tak bangga nak umum masa dia bentang Belanjawan 2021 hari tu?" katanya dalam komen Facebook.

Dalam Belanjawan 2021 lalu, Menteri Kewangan mengumumkan dana RM150 juta melalui sumbangan daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petronas untuk membeli laptop.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman pula berkata, laptop tidak seperti buku teks sekolah yang digunakan berdasarkan tahun. Kegunaan laptop lebih panjang sehingga tamat persekolahan.

"Kalau dah rosak, adakah pelajar dari keluarga susah ini kena ganti semula? Kalau macam tu, bermasalahlah sistem ini.

"Laptop tu kegunaannya panjang, bukan macam buku teks yang digunakan mengikut darjah," katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan BN sebelum ini pernah menyediakan netbook percuma dengan peruntukan RM450 juta.

 

No comments: